Punca kebakaran empat kilang di Kulim masih belum dikenal pasti – Polis

Majlis Pelupusan Barang Kes Mesin Bitcoin di Alor Setar / Foto RTM

ALOR SETAR, 29 Julai – Polis Kedah belum dapat mengesahkan spekulasi bahawa terdapat unsur khianat dalam insiden kebakaran yang memusnahkan empat kilang di Jalan Makmur 7, Lunas, Kulim kerana pasukan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) belum dibenarkan memasuki lokasi atas faktor keselamatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pasukan forensik belum dibenarkan memasuki lokasi atas faktor keselamatan.
  • Kerja overhaul sedang dijalankan untuk memastikan struktur bangunan selamat sebelum pemeriksaan forensik.
  • Operasi pemadaman JBPM melepasi 24 jam bagi memastikan api dipadamkan sepenuhnya dan lokasi selamat.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Syamsul Sinring berkata, pihaknya hanya akan membuat kesimpulan selepas menerima laporan penuh daripada pasukan forensik dan JBPM.

“Setakat ini pihak bomba masih belum mengeluarkan sebarang laporan kerana pasukan forensik belum dapat memasuki lokasi kejadian. Kerja-kerja overhaul masih dijalankan bagi memastikan struktur bangunan selamat sebelum pemeriksaan forensik boleh dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelupusan Barang Kes Mesin Bitcoin di sini, hari ini.

Mengulas dakwaan penduduk yang mendakwa terdengar gegaran ketika kebakaran berlaku semalam, Syamsul berkata, polis belum menerima sebarang laporan rasmi daripada orang awam berhubung perkara itu.

Sementara itu, beliau memaklumkan, operasi memadam kebakaran oleh JBPM masih diteruskan dan telah melepasi tempoh 24 jam bagi memastikan api dipadamkan sepenuhnya serta lokasi berada dalam keadaan selamat.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.53 pagi semalam, kebakaran dilaporkan hanya membabitkan tiga kilang sebelum merebak ke sebuah lagi kilang berhampiran, menjadikan keseluruhan empat premis terjejas dalam insiden berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.