Objek menyerupai bom tangan ancam kilang papan disahkan palsu – Polis

Objek menyerupai bom tangan yang ditemukan bersama nota berbaur ugutan di sebuah kilang papan / Foto orang awam

ALOR SETAR, 29 Julai – Polis sahkan objek menyerupai bom tangan yang ditemukan bersama nota berbaur ugutan di sebuah kilang papan di Bukit Selambau, Sungai Petani, Isnin lalu, adalah palsu dan diperbuat daripada kayu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Unit Pemusnah Bom dan Unit Forensik IPK Kedah jalankan pemeriksaan di lokasi selepas menerima laporan.
  • Polis ambil keterangan tiga individu: pemilik kilang, pengurus dan seorang kerani bagi membantu siasatan.
  • Tiada tangkapan setakat ini; siasatan akan menyiasat kemungkinan wujud unsur ketidakpuasan hati dalam kalangan kakitangan.
  • CCTV di lokasi didapati tidak berfungsi, menyukarkan usaha mengenal pasti individu bertanggungjawab.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, pengesahan itu dibuat selepas Unit Pemusnah Bom (UPB) dan Unit Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian sebaik menerima laporan.

Menurutnya, polis telah mengambil keterangan tiga individu bagi membantu siasatan, iaitu pemilik kilang, pengurus dan seorang kerani.

“Setakat ini belum ada tangkapan. Kita masih berhubung dengan pihak syarikat dan akan menyiasat semua aspek, termasuk kemungkinan wujud unsur ketidakpuasan hati dalam kalangan kakitangan.

“Bagaimanapun, berdasarkan maklumat syarikat, tiada pemberhentian pekerja atau penamatan kontrak secara besar-besaran. Syarikat juga memaklumkan mempunyai 36 pekerja tempatan, manakala selebihnya ialah pekerja warga asing yang memiliki permit kerja sah. Siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelupusan Barang Kes Mesin Bitcoin, di sini hari ini.

Datuk Adzli berkata, siasatan turut mendapati kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian tidak berfungsi, sekali gus menyukarkan usaha mengenal pasti individu yang bertanggungjawab.

Dalam kejadian pada Isnin lalu, pekerja kilang menemui objek menyerupai bom tangan bersama sekeping nota berbaur ugutan sebelum menghubungi polis.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.