
JOHOR BAHRU, 29 Julai – Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh anak lelakinya berusia 18 bulan dan memiliki bahan lucah, tiga tahun lalu.
- Didakwa membunuh anaknya di kondominium di Jalan Permas Selatan antara 8.30 dan 10.00 pagi, 12 September 2023.
- Tiada pengakuan direkod kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi; sebutan kes 1 Oktober untuk laporan DNA, forensik dan kimia.
- Di mahkamah berasingan, mengaku salah memiliki bahan lucah; didenda RM3,000 dan sebulan penjara, tiga bulan jika gagal bayar.
Pertuduhan terhadap tertuduh, G. Thevendhrian, 40 tahun dibacakan di hadapan Majistret Nurzihan Abdul Rehman.
Namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan didakwa membunuh bayinya itu di sebuah kondominium di Jalan Permas Selatan, Bandar Baru Permas, antara pukul 8.30 pagi hingga 10.00 pagi ,12 September 2023.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan menetapkan sebutan kes pada, 1 Oktober depan bagi laporan DNA, forensik dan kimia.
Sementara itu di mahkamah berasingan di hadapan Majistret A.Shaarmini, tertuduh didenda RM3,000 dan sebulan penjara selepas mengaku bersalah memiliki bahan lucah di dalam telefon bimbitnya.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh di kawasan letak kereta di kondominium sama pukul 1 petang hari sama. Kes didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan.