Daftar hak cipta hasil inovasi TVET bagi lindungi nilai komersial

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim / BERNAMA

MASJID TANAH, 29 Julai – Semua projek inovasi yang dihasilkan oleh peserta Pertandingan Inovasi TVET Kebangsaan (PERISA’2026) disaran agar mendaftarkan hak cipta bagi melindungi reka cipta mereka.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penekanan pendaftaran hak cipta dan paten untuk memelihara inovasi, kembangkan pasaran serta jamin nilai komersial dan keselamatan paten.
  • Program RDICE berjaya mendaftarkan 1,525 produk ciptaan Politeknik dan Kolej Komuniti.
  • Produk berdaftar mencatatkan jualan sebanyak RM550,000 bagi tempoh 2023 hingga 2025.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim berkata langkah itu penting bagi memastikan hasil inovasi tempatan bukan sahaja terpelihara, malah berkeupayaan menembusi pasaran secara lebih meluas.

“Dan saya juga menghargai apabila salah satu elemen yang dititikberatkan kali ini juga adalah soal hak cipta atau paten untuk pastikan bahawa setiap inovasi yang telah ditampilkan ini dapat kita pelihara dan dapat kita kembangkan.

“Dalam masa yang sama kita dapat jamin terutama sekali nilai komersial dan juga keselamatan patennya sendiri”, katanya demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Pertandingan Inovasi TVET Kebangsaan (PERISA’26) di Kolej Komuniti Masjid Tanah disini.

Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan menerusi program Research, Development, Innovation, Commercialisation and Economy (RDICE), sebanyak 1,525 produk ciptaan Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) telah berjaya didaftarkan hak cipta.

Hasil pendaftaran itu menyaksikan produk berkenaan mencatatkan nilai jualan keseluruhan sebanyak RM550,000 bagi tempoh 2023 hingga 2025.

Pertandingan PERISA’26 kali ini menyaksikan sebanyak 118 projek inovasi dipertandingkan menerusi lima kategori utama iaitu Teknologi Kejuruteraan, Teknologi Maklumat, Sains Sosial, Perdagangan dan Hospitaliti serta Kategori Pelajar.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.