
KUALA LUMPUR, 29 Julai – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama (LTU) bakal dimanfaatkan sebagai pemangkin baharu sektor pelancongan di negeri Kelantan.
- MOTAC bersedia memanfaatkan kemudahan infrastruktur untuk merangsang pertumbuhan pelancongan, mewujudkan pekerjaan dan memperkukuh ekonomi komuniti.
- Memperkukuh kerjasama strategik bersama Kerajaan Negeri, agensi pelancongan, pengusaha dan masyarakat untuk bangunkan pakej pelancongan bersepadu.
- Pakej direka hubungkan stesen utama dengan tarikan popular tempatan termasuk bandar Kota Bharu, Jeram Pasu dan Lata Jeram Linang.
- Memperkasa produk pelancongan berteraskan warisan, kebudayaan dan kraf komuniti; negeri diminta kemukakan cadangan naik taraf infrastruktur di bawah Rancangan Malaysia Lima Tahun.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man berkata MOTAC bersedia memanfaatkan kemudahan berkenaan yang dijangka bakal merangsang pertumbuhan sektor pelancongan, mewujudkan peluang pekerjaan dan memperkukuh ekonomi komuniti setempat.
“MOTAC akan memperkukuh kerjasama strategik bersama Kerajaan Negeri, agensi pelancongan, pengusaha produk dan masyarakat setempat untuk membangunkan pakej pelancongan yang bersepadu.
“Pakej-pakej baharu ini boleh direka khusus untuk menghubungkan terus stesen-stesen ECRL utama, seperti Stesen Kota Bharu dan Pasir Putih, dengan destinasi tarikan popular tempatan termasuk bandar Kota Bharu, Jeram Pasu dan Lata Jeram Linang.
“Pada masa yang sama, produk pelancongan bertema seperti pelancongan, warisan sejarah dan kebudayaan turut diperkasakan sejajar dengan inisiatif Jejak Warisan dan Jejak Adiguru bagi mengetengahkan identiti unik dan produk kraf komuniti tempatan”, katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff di Dewan Negara.
Senator Dr Wan Martina meminta penjelasan mengenai perancangan Kementerian untuk memanfaatkan kemudahan projek infrastruktur utama seperti Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama (LTU) ini bagi meningkatkan jumlah pelancong ke Kelantan serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan kepada penduduk setempat.
Chiew memaklumkan pihak Kerajaan Negeri perlu mengenal pasti dan mengemukakan cadangan projek kemudahan infrastruktur pelancongan kepada pertimbangan MOTAC di bawah Rancangan Malaysia Lima Tahun bagi menaik taraf kemudahan asas sedia ada agar bersedia menampung jangkaan kemasukan pelancong yang lebih tinggi kelak.