
KUALA LUMPUR, 29 Julai – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan memperketat pemantauan dan kawalan terhadap aktiviti pendakian di seluruh negara, terutama di kawasan pergunungan yang dikenal pasti berisiko tinggi.
- Mengehadkan pendakian sehari atau compressed hike untuk mengurangkan risiko keletihan, kesesakan dan kos operasi mencari serta menyelamat.
- Penguatkuasaan larangan pendakian sehari di kawasan berisiko oleh Jabatan Perhutanan Perak dan larangan oleh Perhilitan di kawasan ekopelancongan.
- Memperkukuh saringan sebelum pendakian melalui pengisytiharan kesihatan, rekod perubatan, perlindungan insurans dan saringan altitud tinggi untuk Gunung Kinabalu serta Gunung Tahan.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Syed Ibrahim Syed Noh berkata, langkah itu termasuk mengehadkan aktiviti pendakian sehari atau compressed hike bagi memastikan keselamatan pendaki terjamin, selain mengurangkan risiko kejadian tidak diingini serta kos operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Pendekatan ini diambil bagi mengurangkan risiko keletihan melampau, kesesakan laluan, serta kejadian kecemasan sebelum ia berlaku.
“Sehubungan itu, Jabatan Perhutanan Negeri Perak menguatkuasakan larangan pendakian sehari atau compressed hike di kawasan berisiko, manakala pihak Perhilitan turut melarang aktiviti tersebut di kawasan ekopelancongan seliaan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Prof Emeritus Dr Mohammad Redzuan Othman di Dewan Negara hari ini.
Kerajaan turut memperkukuh mekanisme saringan sebelum aktiviti pendakian dilaksanakan, antaranya melalui pengisytiharan status kesihatan, rekod perubatan serta perlindungan insurans.
Selain itu, cadangan pelaksanaan saringan gejala penyakit berkaitan altitud tinggi atau High Altitude Illness dan Acute Mountain Sickness turut dipertimbang, khususnya bagi pendakian di Gunung Kinabalu, Sabah serta Gunung Tahan, Pahang.
Langkah berkenaan membolehkan pendaki yang berisiko dikenal pasti lebih awal sebelum kebenaran mendaki diberikan, sekali gus meningkatkan aspek keselamatan sepanjang aktiviti berkenaan.