Menjadikan TVET pemangkin ekonomi acara Malaysia

Gambar hiasan janaan AI/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkasakan TVET untuk industri acara melalui kurikulum bersama industri, pembelajaran berasaskan projek, latihan industri menyeluruh dan pensijilan kemahiran profesional.
  • Sesuaikan TVET dengan teknologi acara moden seperti kecerdasan buatan, analisis data, VR/AR, sistem tanpa sentuh dan platform hibrid.
  • Masukkan elemen kelestarian dalam modul TVET: pengurusan acara hijau, pengurangan karbon, pengurusan sisa dan penggunaan tenaga cekap.
  • Teguhkan kerjasama strategik antara institusi, agensi dan industri serta ubah persepsi TVET sebagai laluan profesional dan berkemahiran tinggi.

Malaysia semakin dikenali sebagai destinasi pilihan bagi penganjuran persidangan, pameran perdagangan, konsert antarabangsa, festival kebudayaan, kejohanan sukan dan pelbagai program berskala besar.

Perkembangan ini membuktikan bahawa industri acara bukan lagi sekadar sektor yang menyokong pelancongan, sebaliknya telah berkembang menjadi antara penyumbang penting kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Namun, di sebalik perkembangan pesat industri ini, satu persoalan wajar diberi perhatian. Adakah Malaysia mempunyai tenaga kerja mahir yang mencukupi untuk menyokong pertumbuhan ekonomi acara pada masa hadapan?

Jawapannya terletak pada pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Jika suatu ketika dahulu TVET sering dikaitkan dengan sektor pembuatan, automotif dan pembinaan, kini sudah tiba masanya bidang ini diperluaskan kepada industri acara yang sedang berkembang pesat.

Industri acara hari ini memerlukan tenaga kerja yang bukan sahaja memiliki pengetahuan akademik, malah menguasai kemahiran teknikal, penggunaan teknologi serta pengurusan operasi di lapangan.

Ekonomi acara merangkumi pelbagai bidang seperti pengurusan mesyuarat, program insentif, persidangan dan pameran, pengurusan pusat acara, hospitaliti, teknologi acara, produksi pentas, sistem bunyi dan visual dan pencahayaan.

Bidang berkaitan lain turut merangkumi keselamatan, logistik, pemasaran digital, penyiaran secara langsung, pembangunan kandungan kreatif dan pengurusan pengalaman pengunjung. Setiap bidang ini memerlukan tenaga kerja yang kompeten, cekap dan memenuhi piawaian antarabangsa.

Hakikatnya, ramai majikan dalam industri acara masih berhadapan kesukaran mendapatkan pekerja yang benar-benar memiliki kemahiran praktikal. Tidak sedikit graduan yang mempunyai pengetahuan teori, namun memerlukan latihan tambahan sebelum mampu mengendalikan operasi sebenar sesuatu acara.

Keadaan ini menyebabkan industri menanggung kos latihan yang tinggi serta menjejaskan produktiviti organisasi.

Justeru, TVET perlu menjadi jambatan yang menghubungkan institusi pendidikan dengan keperluan sebenar industri. Kurikulum perlu dibangunkan bersama pemain industri supaya latihan yang diberikan benar-benar memenuhi kehendak pasaran pekerjaan.

Pendekatan pembelajaran berasaskan projek, latihan industri yang lebih menyeluruh serta pensijilan kemahiran profesional perlu diperkasakan agar graduan bersedia memasuki alam pekerjaan sebaik sahaja menamatkan pengajian.

Dalam era pendigitalan, penganjuran acara tidak lagi bergantung kepada kaedah konvensional. Penggunaan kecerdasan buatan, analisis data, aplikasi telefon pintar, sistem pendaftaran pintar, teknologi realiti maya, teknologi realiti terimbuh, sistem tanpa sentuh serta platform acara secara fizikal dan dalam talian menjadi keperluan utama.

Oleh itu, TVET perlu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi agar tenaga kerja yang dilahirkan bukan sahaja mahir dari sudut teknikal, malah mampu menyesuaikan diri dengan perubahan industri.

Selain aspek teknologi, industri acara masa kini turut menuntut penganjuran yang lebih lestari dan inklusif. Organisasi antarabangsa semakin memberi perhatian terhadap tanggungjawab alam sekitar, sosial dan tadbir urus dalam setiap program yang dianjurkan.

Oleh itu, modul TVET perlu memasukkan elemen pengurusan acara hijau, pengurangan pelepasan karbon, pengurusan sisa yang sistematik, penggunaan tenaga secara cekap serta amalan penggunaan semula sumber sebagai sebahagian daripada kemahiran yang perlu dikuasai oleh graduan.

Lebih penting lagi, Malaysia mempunyai peluang besar untuk menjadi peneraju dalam pembangunan TVET berasaskan pengurusan acara yang inklusif.

Penganjuran acara bukan sekadar memastikan sesuatu program berjalan lancar, tetapi turut menjamin peluang penyertaan yang sama kepada semua peserta termasuk Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas, kanak-kanak dan individu berkeperluan khas.

Sehubungan itu, latihan TVET perlu memperkenalkan konsep reka bentuk sejagat, iaitu pendekatan yang memastikan setiap kemudahan dan perkhidmatan boleh digunakan oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira tahap keupayaan fizikal.

Latihan ini meliputi pengurusan pusat acara yang mesra OKU, penyediaan laluan bebas halangan, sistem pandu arah yang mudah difahami, penggunaan teknologi bantuan, komunikasi yang inklusif serta prosedur keselamatan dan pemindahan kecemasan yang mengambil kira keperluan semua peserta.

Pendekatan ini bukan sahaja melahirkan tenaga kerja yang lebih profesional, malah membuka peluang kepada Malaysia untuk muncul sebagai pusat penyedia kemudahan acara mesra OKU yang unggul di rantau Asia Tenggara.

Pusat konvensyen, hotel dan lokasi acara yang memenuhi piawaian aksesibiliti antarabangsa akan menjadi kelebihan kompetitif negara dalam menarik lebih banyak persidangan, pameran dan program antarabangsa, khususnya yang dianjurkan oleh organisasi yang mengutamakan keterangkuman.

Bagi merealisasikan hasrat tersebut, kerjasama strategik antara institusi TVET, universiti, agensi kerajaan dan pemain industri perlu diperkukuhkan.

Industri perlu diberi ruang untuk bersama-sama membangunkan kurikulum, menyediakan latihan industri, menawarkan pensijilan profesional dan berkongsi perkembangan teknologi terkini.

Kerjasama sedemikian akan memastikan institusi pendidikan sentiasa melahirkan graduan yang memenuhi kehendak sebenar industri.

Dalam masa yang sama, persepsi masyarakat terhadap TVET juga perlu diubah. TVET bukan lagi laluan kedua bagi mereka yang tidak memasuki universiti, sebaliknya merupakan laluan profesional yang mampu melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, usahawan serta pakar dalam pelbagai bidang.

Dalam industri acara misalnya, ramai profesional berjaya memulakan kerjaya sebagai juruteknik sistem bunyi, penyelaras acara atau penyelia operasi sebelum berkembang menjadi pengarah acara, penerbit konsert dan pemilik syarikat pengurusan acara.

Malaysia kini berada pada kedudukan yang strategik untuk memperkukuhkan industri acara sebagai antara penyumbang utama kepada ekonomi negara.

Namun, kejayaan tersebut tidak akan dapat dicapai tanpa modal insan yang berkualiti. TVET perlu menjadi pemacu utama dalam melahirkan tenaga kerja mahir, inovatif dan berdaya saing bagi memenuhi permintaan industri yang semakin berkembang.

Kesimpulannya, memperkasa TVET dalam industri acara bukan sekadar memenuhi keperluan pasaran pekerjaan, malah merupakan pelaburan strategik bagi merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

Dengan tenaga kerja yang kompeten, penguasaan teknologi terkini, amalan kelestarian serta penekanan terhadap keterangkuman, Malaysia berpotensi menjadi peneraju industri acara di rantau ini.

Malah, negara juga mampu muncul sebagai pusat penyedia kemudahan acara yang mesra semua golongan, sekali gus memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi acara bertaraf dunia.
Sudah tiba masanya TVET dilihat sebagai pemangkin utama kepada ekonomi acara Malaysia dan bukan sekadar pelengkap kepada sistem pendidikan negara.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Muhammad Hafizi Zamri
Pensyarah Kanan (Pengurusan Acara)
Fakulti Pengurusan dan Perniagaan
UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam
E-mel: muhamm9811@uitm.edu.my


Liyana Shamimi Mohamed Kamil
Pensyarah Kanan
Ketua Program, Acara dan Pelancongan
Fakulti Hospitaliti dan Pelancongan
BERJAYA University College

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.