LONG JEKITAN, BARAM, 14 April - Seorang kanak-kanak perempuan ditemui meninggal dunia manakala bapanya masih hilang selepas kenderaan pacuan empat roda yang mereka naiki dihanyutkan arus deras di Sungai Sengayan, Long Jekitan, Baram, malam tadi.
Dalam kejadian sekitar pukul 8 malam semalam, mangsa, Vallerie Mentie Dawellies, 9 tahun, bersama bapanya, Dawellies Luing, 46 tahun, dipercayai cuba menyeberangi sungai tersebut sebelum kenderaan jenis pacuan empat roda yang dinaiki mereka dihanyutkan arus deras.
Timbalan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Marudi, Pegawai Bomba Kanan I Nasir Razali, mengesahkan menerima laporan kejadian itu daripada pihak polis pada pukul 12 tengah hari tadi.
“Sekitar pukul 2 petang, kita dimaklumkan oleh Guru Besar Sekolah Kebangsaan Long Jekitan bahawa mayat mangsa, Vallerie Mentie Dawellies, telah ditemui oleh penduduk kampung tidak jauh dari lokasi kenderaan tersebut dihanyutkan,” katanya ketika dihubungi RTM.
Sementara itu, bapanya yang juga Pembantu Pengurusan Murid (PPM) di sekolah berkenaan, masih belum ditemui sehingga kini.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pasukan bomba dijadualkan bertolak ke lokasi kejadian seawal pukul 5 pagi esok bagi melaksanakan operasi pencarian dan menyelamat (SAR).
Difahamkan, perjalanan ke lokasi tersebut dijangka mengambil masa antara 10 hingga 12 jam melalui jalan balak .
Dan laluan sungai yang hanya boleh diakses menggunakan kenderaan pacuan empat roda.