
KUALA LUMPUR, 22 April – Malaysia dan Sepanyol komited untuk memperkukuh kerjasama strategik dalam sektor pertanian bagi meneroka peluang pasaran baharu yang mampu memberikan manfaat ekonomi kepada kedua-dua negara.
- Kerjasama ditekankan dalam pembangunan kapasiti, pertukaran teknologi serta projek khusus akuakultur dan pengurusan saliran pertanian.
- Kedua-dua negara akan meneroka pasaran baharu untuk meningkatkan imbangan perdagangan dua hala dan manfaat ekonomi.
- Malaysia jemput kerajaan Sepanyol menyertai MAHA 2026, acara bertema Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu dalam kenyataan memaklumkan perkara itu dibincangkan dalam kunjungan hormat Duta Besar Sepanyol ke Malaysia José Luis Pardo Cuerdo, hari ini.
Pertemuan tersebut memfokuskan kepada pembangunan kapasiti, pertukaran teknologi, serta kerjasama khusus dalam bidang akuakultur dan pengurusan saliran pertanian.
“Dalam pertemuan ini, kedua-dua pihak menyatakan komitmen untuk terus meneroka peluang pasaran baharu bagi produk pertanian tempatan demi meningkatkan imbangan perdagangan dua hala yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.
Setakat Disember 2025, rekod perdagangan pertanian antara kedua-dua negara mencatatkan nilai sebanyak RM2.73 bilion.
Eksport utama Malaysia ke Sepanyol merangkumi produk seperti kopi, koko, teh, dan rempah-ratus.
Usaha kini dipergiat bagi memastikan produk pertanian tempatan yang lain turut mendapat tempat di pasaran Eropah.
Dalam pada itu, Mohamad Sabu turut menyampaikan jemputan rasmi kepada kerajaan Sepanyol untuk menyertai Malaysia Agriculture, Horticulture and Agrotourism Show (MAHA) 2026 yang akan berlangsung pada 28 Ogos hingga 6 September depan.
Acara tersebut bakal mengangkat tema “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan” bertempat di MAEPS, Serdang.