Program Biasiswa Menteri Besar, komitmen kerajaan negeri bantu pelajar B40

Foto FB Yayasan Perak

IPOH, 22 April – Lebih 7,000 pelajar di Perak menerima manfaat menerusi Program Biasiswa Menteri Besar, sejak diperkenalkan pada 2019.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan negeri belanjakan lebih RM8.12 juta menerusi program, mencerminkan komitmen bantu pelajar khususnya golongan B40.
  • Pada 2026, 900 pelajar disasar menerima biasiswa SPM, STPM dan STAM dengan bantuan RM1,000 hingga RM1,200.
  • Kerajaan negeri turut menawarkan Biasiswa Agrotek Perak SADC dan Yayasan Perak; 75 penerima termasuk 10 bakal menerima tajaan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, program tersebut melibatkan perbelanjaan melebihi RM8.12 juta, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam membantu pelajar, khususnya golongan B40.

Bantuan sekali beri itu merangkumi keperluan persekolahan serta persediaan menghadapi peperiksaan utama yang diharap dapat menjadi dorongan kepada pelajar untuk terus mencapai kecemerlangan akademik.

“Bagi tahun 2026, seramai 900 pelajar disasar menerima biasiswa Menteri Besar melibatkan kategori SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia) dan STAM (Sijil Tinggi Agama Malaysia) dengan kadar bantuan RM1,000 bagi calon SPM, serta RM1,200 bagi calon STPM dan STAM,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Majlis Penganugerahan Biasiswa Menteri Besar Perak kepada calon SPM dan Penyerahan Mock Cheque Biasiswa Agrotek Perak SADC-YP di sini.

Dalam pada itu, kerajaan negeri turut menawarkan Biasiswa Agrotek Perak SADC–Yayasan Perak sebagai tajaan pengajian tinggi dalam bidang pertanian, perladangan dan teknologi agrotek.

Sehingga kini, seramai 65 pelajar telah menerima tajaan, manakala 10 lagi bakal menerima manfaat tahun ini, menjadikan keseluruhan 75 penerima.