fb fb fb fb fb

Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 berkuat kuasa dalam masa terdekat - Azalina

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said/BERNAMA

BANGI, 16 Jun- Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 akan dikuatkuasakan dalam masa terdekat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata akta yang telah diwartakan itu hanya menunggu tandatangan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil bagi menentukan tarikh kuat kuasa.

“Menteri (Fahmi) akan menandatangani penguatkuasaan undang-undang tersebut. Setelah ditandatangani, ia akan berkuat kuasa supaya pihak berwajib boleh mengambil tindakan mengikut undang-undang," kata Datuk Seri Azalina, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi) di sini.

Menurut Azalina, satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan dan dipengerusikan oleh beliau sendiri bagi menentukan takrifan tepat bagi istilah ‘bahaya dalam talian’.

Tambahnya, peruntukan undang-undang berkaitan turut menetapkan tanggungjawab khusus yang perlu dipatuhi oleh penyedia platform digital dalam menangani ancaman tersebut.

Terdahulu, akta yang diluluskan di Dewan Rakyat pada Disember tahun lalu itu menetapkan tiga tanggungjawab utama kepada penyedia platform media sosial iaitu memastikan keselamatan platform, melindungi kanak-kanak di bawah umur 13 tahun dan mengehadkan akses kepada kandungan berbahaya.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM