Agihan tiket ECRL perlu adil, elak penumpang negeri pertengahan terpinggir

FOTO FB Wan Rosdy bin Wan Ismail

KUANTAN, 18 April – Mekanisme pengagihan tiket bagi perkhidmatan East Coast Rail Link (ECRL) perlu diperhalusi bagi memastikan akses yang adil kepada penumpang di setiap negeri, khususnya di Pahang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bimbang penjualan tiket dibeli secara pukal di stesen permulaan; akan berbincang dengan ECRL supaya jualan tidak dimonopoli.
  • Pengagihan tiket perlu seimbang agar penumpang negeri pertengahan tidak terpinggir terutama pada musim perayaan dan waktu puncak.
  • Komposisi operasi sekitar 70% kargo, 30% penumpang mengehadkan kapasiti; cadang semak semula nisbah kargo-penumpang untuk manfaat rakyat.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kebimbangan timbul apabila laluan ECRL yang bermula dari Pantai Timur berpotensi menyebabkan tiket habis dijual lebih awal di stesen permulaan.

Menurut beliau, situasi itu boleh menyukarkan pengguna di negeri pertengahan seperti Pahang mendapatkan tempat, sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat jika tiada mekanisme pengagihan yang lebih seimbang dan saksama, terutama pada musim perayaan serta waktu puncak.

Beliau turut memaklumkan akan mengadakan perbincangan dengan pihak ECRL dalam masa terdekat bagi memastikan penjualan tiket tidak dimonopoli secara pukal oleh pihak tertentu.

“Terutama apabila musim perayaan, jualan tiket tidak dijual secara ‘bulk’ sehingga hanya kelompok tertentu atau negeri lain mendapat lebih banyak, manakala negeri kita ketinggalan. Kalau boleh, biarlah sama rata dan perkara ini perlu diperhalusi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan isu komposisi operasi ECRL yang difahamkan melibatkan kira-kira 70 peratus kargo dan 30 peratus penumpang.

Jelas Datuk Seri Wan Rosdi lagi, peratusan tersebut dilihat kurang membantu dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas di Lebuhraya Karak memandangkan kapasiti penumpang bagi setiap perjalanan adalah terhad.

“Dengan kapasiti sekitar 400 penumpang bagi satu perjalanan yang merangkumi pengguna dari beberapa negeri termasuk Kelantan, Terengganu dan Pahang, manfaat kepada rakyat negeri ini mungkin tidak dapat dirasai sepenuhnya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar pihak berkaitan termasuk Malaysia Rail Link meneliti semula keseimbangan antara operasi kargo dan penumpang supaya lebih praktikal serta efektif.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penutup Malaysia East Coast and Entrepreneur Expo 2026 di sini.