
IPOH, 18 April — Sebanyak RM7.16 juta diperuntukkan bagi sektor pendidikan di Parlimen Tambun dalam tempoh tiga tahun lalu, melibatkan bantuan kewangan, kemudahan digital serta projek infrastruktur sekolah.
- Peruntukan merangkumi sumbangan Parlimen dan inisiatif Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk memperkasa akses pendidikan dan kemudahan pembelajaran pelajar.
- Fokus bantuan menaik taraf kemudahan asas sekolah termasuk ruang menunggu pelajar, bilik darjah dan fasiliti sukan melalui peruntukan berskala kecil.
- Kebanyakan sekolah di Parlimen Tambun telah dilengkapi papan pintar bagi menyokong kaedah pembelajaran terkini.
- Dalam Program Bantuan Pendidikan MADANI 2026, sekitar 500 pelajar terima RM100 dan beg; 3,000 lagi menerima baucar persekolahan RM100.
Pegawai Khas Kanan Ahli Parlimen Tambun, Muhammad Hairul Amir Sabri berkata, peruntukan itu merangkumi sumbangan Parlimen serta inisiatif Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dalam memperkasa akses pendidikan dan kemudahan pembelajaran pelajar.
Beliau berkata, antara fokus bantuan termasuk usaha menaik taraf kemudahan asas sekolah seperti ruang menunggu pelajar, bilik darjah serta fasiliti sukan menerusi peruntukan berskala kecil.
“Bantuan diberikan dalam pelbagai bentuk termasuk sumbangan tunai serta pembangunan kemudahan sekolah. Selain itu, kebanyakan sekolah di Parlimen Tambun juga telah dilengkapi dengan kemudahan papan pintar (smartboard) bagi menyokong kaedah pembelajaran terkini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Bantuan Pendidikan MADANI Parlimen Tambun 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan Ulu Kinta, di sini hari ini.
Dalam program itu, kira-kira 500 pelajar menerima bantuan RM100 berserta beg sekolah melalui sumbangan Yayasan Pelajaran MARA.
Selain itu, seramai 3,000 pelajar turut menerima baucar persekolahan bernilai RM100 setiap seorang sebagai persediaan awal sesi persekolahan tahun ini.