fb fb fb fb fb

8,000 RMMJ akan dibina tahun ini, catat rekod tertinggi

Foto Fail

KULAI, 2 Februari- Kerajaan Johor akan membina 8,000 unit Rumah Mampu Milik (RMM) Johor (RMMJ) pada tahun ini.

Ia adalah jumlah tertinggi yang pernah dibina dalam tempoh setahun, sepanjang 30 tahun inisiatif itu dilaksanakan.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata ketika ini, kira-kira 2,000 unit telah dibina di Mersing, Kluang dan Iskandar Puteri.

Sebanyak 8,000 rumah RMMJ juga akan dibina pada tahun hadapan, seterusnya merapatkan jurang menuju sasaran 30,000 unit RMMJ dibina menjelang tahun 2026.

Sehingga kini, terdapat 13,461 unit RMMJ telah dibina di seluruh Johor, dengan majoriti dibina di Johor Bahru.

"Kita sudah selesaikan lebih 13,000. Jadi, ada baki dalam 16,000. Tahun ini, 8,000 dan tahun depan lagi 8,000.

Jadi, 8,000 ini adalah rekod tertinggi, sepanjang 30 tahun Johor membina RMMJ dalam tempoh setahun. Biasa rekod paling tinggi dalam setahun, dalam 7,000," kata Datuk Mohd Jafni kepada pemberita, hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan projek Perumahan Koperasi Nelayan Endau, yang sebelum ini terbengkalai selama 17 tahun, dijangka akan siap, sebelum Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Pemaju terkini projek tersebut, kini sedang menyelesaikan isu tekanan air di kawasan tersebut.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM