
PEKAN, 24 Ogos – 442 pelatih (Wira Muda Negara) Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 berjaya menamatkan latihan selama 45 hari sejak 11 Julai lalu di Kem Rejimen 505 Askar Wataniah (AW), Pekan, Pahang.
- Muhammad Firdaus menerima Anugerah Wira Muda Ulung Siri 3/2026 semasa Majlis Perbarisan Tamat Latihan.
- Latihan menguji ketahanan fizikal, meningkatkan kerja berpasukan, kepatuhan arahan dan kematangan menghadapi cabaran.
- Program membentuk jati diri, disiplin dan semangat patriotik, serta mendorong beliau mengejar cita-cita menjadi pegawai TLDM.
Seorang peserta, Muhammad Firdaus Muhammad Said,18, menerima Anugerah Wira Muda Ulung Siri 3/2026 sempena Majlis Perbarisan Tamat Latihan Wira Muda Negara di kem berkenaan, pada Isnin.
Muhammad Firdaus ketika ditemui berkata, latihan serta sokongan jurulatih dan rakan-rakan pelatih banyak membantu dirinya mencapai kejayaan tersebut.
Menurutnya, pengalaman sepanjang menjalani latihan itu bukan sahaja menguji ketahanan fizikal, malah mengajar dirinya supaya mampu bekerja dalam pasukan, mematuhi arahan dan menghadapi cabaran dengan lebih matang.
Malah, program berkenaan dilihat menjadi platform membentuk generasi muda yang mempunyai jati diri, disiplin dan semangat patriotik, selaras dengan usaha melahirkan belia yang berkualiti serta bersedia menyumbang kepada negara.
“Boleh menganjurkan aktiviti-aktiviti yang menarik minat mereka (anak muda), namun pada masa sama menerapkan nilai-nilai kenegaraan dan patriotisme dalam diri anak-anak muda pada zaman sekarang, ” katanya.
Muhammad Firdaus berkata, pengiktirafan yang diterima akan menjadi suntikan semangat untuk beliau terus mengejar cita-citanya menjadi pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Majlis Perbarisan Tamat Latihan itu disempurnakan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali.