104 kontinjen sertai perarakan Maulidur Rasul di UPM

Pengarah Pusat Islam Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor, Zuhaimi Abdul Rahim / foto RTM

KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Pelbagai pengisian dirangka bagi menyemarakkan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1448H/2026M, dengan Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor dipilih sebagai lokasi sambutan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perarakan melibatkan 104 kontinjen bermula dari Masjid UPM ke Dewan Besar sambil melaksanakan selawat kepada Nabi Muhammad SAW.
  • Perarakan yang membabitkan semua kementerian disusuli ceramah mengenai sejarah dan keperibadian Nabi sebagai contoh serta teladan kepimpinan.
  • Sambutan di institusi pengajian tinggi bertujuan menyemai akhlak, kepimpinan dan kecintaan kepada Rasul, disiarkan langsung RTM pada 25 Ogos.

Pengarah Pusat Islam UPM, Zuhaimi Abdul Rahim, berkata sambutan itu akan diserikan dengan perarakan membabitkan 104 kontinjen, selain ceramah dan aktiviti kerohanian untuk warga kampus serta masyarakat.

“Pihak kami akan melaksanakan aktiviti perarakan Maulidur Rasul bermula dari Masjid UPM sehingga ke Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, bersama sekitar 104 kontinjen yang akan melaksanakan program perarakan sambil berselawat kepada Nabi Muhammad SAW,” katanya kepada media selepas bersiaran dalam Program Selamat Pagi Malaysia di ibu negara.

Beliau berkata perarakan yang membabitkan semua kementerian itu akan disusuli pengisian ceramah yang mengetengahkan sejarah serta keperibadian Nabi Muhammad SAW sebagai contoh dan teladan dalam kehidupan.

Katanya, penganjuran sambutan di institusi pengajian tinggi turut menjadi platform untuk menyemai nilai akhlak, kepimpinan dan kecintaan kepada Rasulullah SAW dalam kalangan generasi muda, khususnya warga kampus.

“Kalau kita lihat dalam konteks usaha dakwah Nabi, Baginda adalah ‘Uswatun Hasanah’ yang menjadi contoh dan teladan kepada kita sebagai seorang pemimpin. Di universiti ini, kita lihat ramai bakal pemimpin yang akan menerajui kepimpinan negara.

“Selain itu, nabi juga seorang ketua keluarga yang boleh dijadikan model dalam kehidupan kita,” katanya.

Sambutan peringkat kebangsaan itu diharap memberi peluang kepada warga universiti menghayati sirah dan keperibadian Rasulullah SAW, selain menyemarakkan amalan berselawat serta menerapkan nilai murni dalam kehidupan seharian.

Siaran langsung Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1448H/2026M akan disiarkan secara langsung menerusi TV1 pada 25 Ogos 2026 (Selasa), bermula pukul 9.00 pagi dan rangkaian radio Radio Televisyen Malaysia (RTM). Sambutan kali ini bertemakan “MADANI Dihayati, Ummah Diberkati”.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.