
GUA MUSANG, 24 Ogos- Seekor gajah liar berkeliaran berhampiran tapak perkhemahan dan penempatan masyarakat Orang Asli di Pos Gob, di sini, awal pagi ini, sekali gus mengejutkan kira-kira 150 peserta Kembara Rakyat Nenggiri.
- Gajah jantan dikesan memakan pokok pisang dan bergerak sekitar penempatan, mengganggu tanaman penduduk.
- Peserta Foo Lee Mee terdengar bunyi dahan patah, kekal dalam khemah, teruja melihat gajah buat pertama kali.
- Wan Muhammad terkejut gajah dekat lokasi berkhemah, kehadiran pada kira-kira 4.00 pagi ketika kabus tebal.
- ADUN: aduan sejak dua tahun, banyak tanaman dan harta rosak, memohon tindakan susulan terancang kerana kawasan jauh dari bandar.
Dalam kejadian kira-kira 4.00 pagi itu, gajah jantan berkenaan dikesan berada berhampiran kawasan perkhemahan sebelum memakan pokok pisang dan bergerak di sekitar penempatan tersebut.
Seorang peserta rombongan, Foo Lee Mee berkata beliau yang sedang tidur bersama suaminya di dalam khemah pada mulanya terdengar bunyi dahan pokok dipatahkan sebelum tersedar sepenuhnya daripada tidur.
Katanya, beliau tidak keluar dari khemah kerana menyangka bunyi berkenaan berpunca daripada anjing yang sedang mencari makanan atau menyelongkar sampah.
“Ini kali pertama saya nampak gajah liar depan mata. Memang teruja,” katanya.
Seorang lagi peserta, Wan Muhammad Hafiz Wan Daud berkata beliau terkejut apabila mendapati gajah berkenaan berada berhampiran kawasan mereka berkhemah.
“Terkejut juga tengok tadi sebab dekat dengan tempat kami duduk. Pukul 4.00 pagi dah ada di sini dan masa itu kabus tebal,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Nenggiri Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata pihaknya menerima aduan mengenai kemunculan gajah liar di kawasan penempatan masyarakat Orang Asli Pos Gob sejak dua tahun lepas.
“Pos Gob sudah dua tahun menerima aduan dan banyak tanaman serta harta benda mereka rosak. Gangguan ini bukan sahaja berlaku di kawasan pinggir tetapi turut memasuki kawasan penempatan penduduk.
“Kita mengharapkan tindakan susulan secara terancang daripada pihak berkenaan.
“Kita maklum kawasan Pos Gob ini jauh dari kawasan bandar dan permasalahan ini perlu ada penyelesaian,” katanya.
Difahamkan, terdapat lebih 1,000 penduduk masyarakat Orang Asli di Pos Gob.