
KUALA TERENGGANU, 23 Ogos – Sebanyak 726 kesalahan trafik dikesan membabitkan pelarian Myanmar dengan tujuh kes kemalangan jalan raya direkodkan kumpulan itu di Terengganu, dengan dua daripadanya mengakibatkan kematian.
- Kesalahan memandu tanpa lesen mencatatkan bilangan tertinggi; banyak kenderaan disita.
- Motosikal merupakan kenderaan paling banyak disita, dengan daerah Kemaman merekodkan sitaan tertinggi.
- PDRM akan mempergiat Operasi Khas Trafik di kawasan penempatan dan sektor pekerjaan; masyarakat diminta tidak bertindak sendiri.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata, daripada jumlah itu, kesalahan memandu tanpa lesen mencatat angka tertinggi iaitu 151 kes, dan 156 kenderaan disita atas pelbagai kesalahan.
“Dia masih perlu mematuhi undang-undang negeri kita dan undang-undang Malaysia. Berdasarkan data yang kita ada dari Januari hingga sekarang, penglibatan mereka dalam jenayah tidak banyak.
“Kira-kira 66 orang daripada kira-kira 5,000 orang. Begitu juga dengan kesalahan narkotik, jumlahnya tidak banyak, iaitu sekitar 22 orang,” katanya ketika ditemui RTM selepas menjadi tetamu Terengganufm di sini.
Menurut Datuk Mohd Khairi motosikal merupakan kenderaan paling banyak disita iaitu 143, dengan daerah Kemaman merekodkan jumlah sitaan tertinggi sebanyak 60 kenderaan.
Keadaan itu membimbangkan kerana kegagalan mematuhi undang-undang jalan raya bukan sahaja satu kesalahan, malah boleh mengancam keselamatan pengguna lain.
Bagaimanapun, situasi keselamatan dan ketenteraman awam membabitkan isu warga berkenaan masih terkawal, namun boleh menjadi ancaman sekiranya provokasi dan penyebaran maklumat tidak tepat tidak dibendung.
Pada masa sama PDRM Terengganu akan mempergiat Operasi Khas Trafik secara berkala terutama di kawasanpenempatan dan sektor pekerjaan warga asing.
PDRM juga turut menegaskan Masyarakat tidak seharusnya bertindak mengikut emosi atau mengambil tindakan sendiri, sebaliknya menyerahkan sebarang kesalahan kepada pihak berkuasa.