
BESERI, 24 Ogos – Impian besar, keberanian dan ilmu pengetahuan merupakan tiga elemen penting perlu disematkan dalam jiwa setiap pelatih Wira Muda Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).
- Jurulatih membentuk ketabahan, disiplin serta kekuatan mental dan fizikal peserta.
- Program menanam sifat kepimpinan: berani memimpin, berkeyakinan dan percaya pada kemampuan diri.
- Semangat perwira ditekankan untuk semua, bukan terhad kepada anggota tentera atau ahli politik.
- Seramai 106 pelatih wanita mengikuti PLKN 3.0 Siri 3/2026 selama 45 hari bermula Julai.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul berkata, dalam era globalisasi yang penuh dengan ketidaktentuan geopolitik dan ancaman siber, Wira Muda memerlukan perisai diri yang ampuh.
Menurutnya, ia menerusi penguasaan ilmu pengetahuan dan inovasi, jati diri yang kukuh, serta ketahanan mental dan fizikal.
“Sebab itulah, tiga elemen ini diterapkan di semua kem, bagi memastikan setiap graduan yang dilahirkan mempunyai sifat seorang perwira.
“Perwira bukan sekadar merujuk kepada anggota tentera atau ahli politik, sebaliknya sesiapa sahaja tanpa mengira bidang yang diceburi perlu memiliki sifat dan jiwa seorang pemimpin,” katanya.
“Kita tidak mahu melahirkan individu yang hanya menjadi hamba (mengikut), sebaliknya mereka perlu berani memimpin, berkeyakinan dan percaya kepada kemampuan diri sendiri.
Dengan adanya sifat serta jiwa kepimpinan itu, barulah kita mampu mencapai kejayaan dan melakukan sesuatu yang lebih besar, ” katanya ketika berucap pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Wira Muda Negara PLKN Siri 3/2026 di Padang Kawad Kem Rejimen 504 Askar Wataniah (AW), Bukit Keteri.

Sementara itu, An’nur Najiha Muhammad, 18, dinobatkan sebagai pelatih terbaik sekali gus menerima Anugerah Wira Muda Ulung.
“(Sepanjang mengikuti program ini).. para peserta bukan sahaja dapat meningkatkan ketabahan diri, malah membina kekuatan mental dan fizikal.
“Didikan serta bimbingan jurulatih turut membantu membentuk perubahan positif dalam diri peserta, khususnya dari segi disiplin.
Perubahan itu jelas dapat dilihat berbanding ketika mula menyertai program berkenaan, apabila kini kami semakin berdisiplin dan lebih yakin terhadap diri sendiri, ” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.
Seramai 106 pelatih wanita mengikuti PLKN 3.0 Siri 3/2026 di Kem Rejimen 504 AW selama 45 hari, bermula 11 Julai lepas.