
KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Seramai 200 alumni pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 bakal menyertai perbarisan sempena dengan Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Putrajaya.
- Pelatih terpilih akan menjalani latihan di Putrajaya sebagai persediaan menghadapi acara peringkat kebangsaan.
- PLKN 3.0 Siri 3/2026 menyaksikan 795 pelatih tamat latihan 45 hari di tiga kem CLKN.
- MLKN merancang tambah kem dan guna pusat latihan RELA untuk melatih lebih 1,000 pelatih pada satu-satu masa.
Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN), Jeneral (B) Tan Sri Dr Abdul Aziz Zainal, berkata peserta yang terpilih akan menjalani latihan di Putrajaya bermula esok sebagai persediaan menghadapi acara peringkat kebangsaan itu.
“Ini merupakan kali pertama kita mempamerkan pelatih-pelatih PLKN yang selama ini menjalani latihan. Inilah kebanggaan negara untuk mengenali mereka sebagai pewaris masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Pelatih PLKN 3.0 Siri 3/2026 di Kem Cawangan Latihan Khidmat Negara (CLKN) Kem 515 Askar Wataniah (AW), di sini hari ini.
PLKN 3.0 Siri 3/2026 menyaksikan seramai 795 pelatih berjaya menamatkan latihan selama 45 hari yang bermula 11 Julai lalu, membabitkan tiga kem CLKN.
Ia melibatkan 106 pelatih wanita di Kem 504 AW Bukit Keteri, Perlis; 442 pelatih lelaki di Kem 505 AW Pekan, Pahang; serta 247 pelatih wanita di Kem 515 AW Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Tan Sri Dr Abdul Aziz berkata jumlah peserta PLKN 3.0 Siri 4/2026 akan ditingkatkan menerusi penambahan kem CLKN, termasuk dengan memanfaatkan pusat latihan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
“Kita akan tambah pelatih dan mungkin menggunakan pusat latihan RELA yang mencukupi. Dengan gabungan pusat latihan RELA dan kem sedia ada, kita boleh melatih lebih 1,000 pelatih pada satu-satu masa,” katanya.
Sementara itu, penerima Anugerah Wira Muda Ulung Siri 3/2026, Cheyenne Alessandra Michael, 18, berkata penyertaannya dalam PLKN dibuat secara sukarela atas minat mendalam untuk menceburi bidang ketenteraan.
Katanya, latihan selama 45 hari itu bukan sahaja meningkatkan tahap disiplin dan kemahiran berkomunikasi, malah menyemarakkan semangat patriotisme dalam dirinya.
“Program ini benar-benar meningkatkan semangat patriotik saya. Sekarang saya lebih bersemangat kerana mendapat pengalaman berharga bersama anggota tentera di kem ini yang meluaskan lagi pandangan saya,” katanya.