fb fb fb fb fb

4, 489 kematian akibat nahas jalan raya libatkan penunggang motosikal tahun lalu

Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut selepas terperosok di bawah kereta terbalik dalam kemalangan di Jalan Lama, Kampung Purak pada 27 Oktober lalu/Foto Bomba

MIRI, 2 November – Sebanyak 4,489 kematian akibat kes nahas jalan raya melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal direkodkan di seluruh negara tahun lalu, termasuk 198 kes berlaku di Sarawak.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, berkata Kementerian Pengangkutan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) komited meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keselamatan jalan raya.

"Kerajaan melaksanakan tanggungjawabnya mendidik rakyat supaya menjadi pemandu yang selamat di jalan raya, bertimbang rasa, dan tidak menyusahkan pengguna lain. Anda mesti memiliki lesen memandu," katanya semasa majlis penutupan Program Bantuan MyLesen Kelas B2 Parlimen Sibuti di Bekenu di sini pada Sabtu.

Program Bantuan MyLesen yang disertai 698 peserta itu merupakan inisiatif JPJ untuk membantu golongan kurang berkemampuan mendapatkan lesen memandu.

Sejak program itu dimulakan tahun lalu di Sarawak, lebih 17,000 penunggang motosikal telah memperoleh lesen B2.

Pelbagai program lain turut dilaksanakan, termasuk kempen keselamatan jalan raya, sesi libat urus bersama pemegang taruh, dan program advokasi bersama komuniti, bagi mengurangkan kes kemalangan jalan raya.

GRACE AISYAH KEDAYAN