fb fb fb fb fb

367 PKG, 16 SSTP diperkasa sebagai pusat kecemerlangan

Wong Kah Woh

KUALA LUMPUR, 16 Oktober- Sebanyak 367 buah Pusat Kegiatan Guru (PKG) dan 16 buah Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP) Jabatan Pendidikan Negeri di seluruh negara diperkasa sebagai pusat kecemerlangan (centre of excellence (COE)).

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata, ia menerusi pelaksanaan perolehan baharu perkhidmatan internet di sekolah-sekolah bagi tempoh Julai 2024 hingga Jun 2025, untuk menambah baik akses internet di semua sekolah termasuk sekolah-sekolah di luar bandar.

Inisiatif pendidikan digital dilaksana sejak tahun 2022 itu merupakan antara usaha berterusan bagi menambah baik sistem pembelajaran di sekolah-sekolah berasaskan teknologi dan digital melibatkan peruntukan sebanyak RM44.6 juta itu telah pun selesai dinaik taraf tahun ini.

"Kementerian Pendidikan (KPM) juga telah melengkapkan perkakasan Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) di makmal komputer sekolah secara berfasa termasuk di sekolah-sekolah luar bandar yang melibatkan pembekalan komputer riba (21 unit), pencetak pelbagai guna (satu unit), projektor (satu unit) dan tempat pengecasan (satu unit).

"Projek ini dilaksanakan melalui tiga fasa bermula pada tahun 2021 sehingga 2023 yang melibatkan agihan sebanyak 244,158 unit," katanya.

Beliau menjawab pertanyaan dikemukakan Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh berkenaan kaedah yang akan diguna pakai dalam menyelesaikan isu kekangan peralatan diperlukan oleh sekolah-sekolah luar bandar bagi mengadaptasi teknologi dan digital.

Sementara itu jurang pencapaian kemahiran digital antara murid bandar dan murid luar bandar catat perbezaan ketara dengan murid sekolah bandar mencatat purata skor sebanyak 3.34/5.00, berbanding purata skor murid sekolah luar bandar dengan catatan sebanyak 3.24.

Wong Kah Woh berkata, purata skor tersebut lebih tinggi daripada purata skor kebangsaan sebanyak 3.31.

Sehubungan itu, KPM sentiasa menyedari kepentingan penambahbaikan berterusan terhadap ekosistem pendidikan digital yang lengkap dan kondusif di semua sekolah, khususnya di luar bandar bagi merapatkan jurang berkenaan.

"Melalui Teras 4: Pengupayaan Infrastruktur dan Infostruktur Dasar Pendidikan Digital (DPD), KPM telah pun membangunkan kemahiran digital dalam ekosistem pembelajaran, iaitu rintis kelas hibrid telah dilaksanakan di 110 buah institusi pendidikan terpilih termasuk sekolah-sekolah luar bandar.

"Ini melibatkan 550 buah kelas bermula pada tahun 2021, dan kelas pintar ini dilengkapi dengan kemudahan peralatan papan digital pintar, televisyen pintar, set kamera dan perakam suara (air mic).

"Pada tahun 2025, pihak KPM bercadang untuk memperluaskan projek ini kepada 400 buah kelas lagi, dan ini termasuk sekolah-sekolah yang terpilih dari bandar dan juga luar bandar," katanya ketika menjawab pertanyaan bagi usaha membangunkan kemahiran digital pelajar-pelajar di sekolah-sekolah luar bandar.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI