KANGAR, 7 Mac - Seramai 227 penghantar barangan dan makanan di Perlis telah mendaftar bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri bagi Sektor Pengangkutan Barangan dan Makanan sehingga kini.
Usaha dilaksanakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Perlis dengan rakan penghantar makanan satu pendekatan proaktif memperluaskan jaringan keselamatan sosial kepada mereka yang bekerja sendiri.
Menurut Pengarah PERKESO Negeri, Ahmad Firdaus Hashim, pihaknya akan terus menggerakan usaha dan kempen berkaitan bagi menggalakkan lebih ramai penghantar barangan dan makanan di Perlis mencarum dibawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).
"Perluasan perlindungan kepada golongan rakan penghantar ini merupakan langkah wajar bagi menjaga kebajikan mereka dimana pekerjaan yang dilaksanakan terdedah dengan risiko terutamanya ketika di jalan raya," kata Firdaus dalam Program Keselamatan Food Rider bersama PERKESO di Dataran Datuk Sheikh Ahmad, Kangar yang turut menampilkan Ikon Permotoran, Wazi Abdul Hamid bagi berkongsi mengenai tips keselamatan di jalan raya kepada penghantar barangan dan makanan.
Secara keseluruhan terdapat 20 sektor pekerjaan sendiri yang diwujudkan untuk memberi perlindungan kepada individu yang menjalankan pekerjaan sendiri bawah peruntukan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 dengan pelbagai faedah bakal diperolehi pencarum.
Program itu dianjurkan Persatuan Defensive Kinta bersama badan Kebajikan Taman Datuk Jaafar, Anak Muda Bintong dan Persatuan Amal Bakti Perlis yang menghimpunkan 20 penghantar makanan.