
SEREMBAN, 30 Julai – Semua pihak diingatkan agar tidak menjadikan politik berasaskan kaum sebagai landasan meraih sokongan rakyat.
- Kerajaan tidak akan berkompromi dengan pihak yang bermain sentimen perkauman, agama atau kebencian.
- Pendekatan inklusif Kerajaan MADANI diteruskan untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan negara.
- Prinsip kerajaan: pertahankan hak Melayu, beri peluang adil kepada masyarakat Cina, jangan pinggirkan komuniti India dan jaga kepentingan Sabah serta Sarawak.
- Kedudukan bahasa Melayu, agama Islam dan institusi Raja-Raja Melayu mesti dihormati sambil memastikan keselamatan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyuarakan perkara itu menyatakan pendekatan berkenaan hanya memecah-belahkan masyarakat serta menjejaskan keharmonian negara.
“Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba memainkan sentimen perkauman, agama mahupun kebencian.
“Keamanan serta kestabilan Malaysia bergantung kepada kemampuan semua kaum hidup bersama secara harmoni.
“Prinsip kerajaan adalah mempertahankan hak orang Melayu. Dalam masa sama, memastikan masyarakat Cina mendapat peluang adil dan komuniti India tidak dipinggirkan selain terus menjaga kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak,”katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra PMX Bersama Dengan Komuniti India, malam tadi.
Datuk Seri Anwar menegaskan Malaysia tidak mungkin aman jika sentiasa membawa masalah antara kaum.
“Pendekatan inklusif dipertahankan Kerajaan MADANI dalam mentadbir negara. Tiada siapa boleh mempertikaikan kedudukan bahasa Melayu, agama Islam serta institusi Raja-Raja Melayu, tetapi kita juga mesti menerima hakikat untuk memastikan Malaysia terus selamat,”jelasnya.
Justeru, beliau terus mengingatkan rakyat tidak seharusnya terus dipengaruhi naratif yang boleh memecah-belahkan masyarakat memandangkan hampir tujuh dekad negara mencapai kemerdekaan.
Program turut dihadiri Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R.Ramanan.