
KUALA LUMPUR, 29 Julai- Kelemahan tadbir urus termasuk campur tangan politik dalam pengurusan dan agihan keuntungan merupakan antara penemuan utama siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tempoh 2014 hingga 2020.
- Akta 535 memberi kuasa luas kepada Menteri tanpa kriteria pelantikan khusus bagi Pengerusi dan anggota Lembaga.
- Keterbatasan kepakaran Menteri Hal Ehwal Agama menyebabkan kebergantungan penuh pada cadangan pengurusan untuk keputusan dana dan pelaburan.
- Konflik kepentingan wujud apabila anggota Lembaga terlibat dalam anak syarikat; RCI cadangkan pindaan Akta dan penubuhan panel pelaburan, jawatankuasa syariah.
Laporan RCI yang diterbitkan malam ini mendapati penglibatan ahli politik dalam pengurusan TH bagi tempoh 2014 hingga 2018 telah menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat berikutan pertembungan politik.
Menurut laporan itu, keadaan ini telah menyebabkan ada pihak-pihak mengambil kesempatan dengan menjadikan keputusan yang dibuat TH sebagai bahan kritikan sehingga menjejaskan kredibiliti TH.
“Terdapat beberapa keputusan TH seperti bayaran agihan keuntungan (hibah), penentuan bayaran haji, dan Bantuan Kewangan Haji (Hajj Financial Support (HAFIS)) didorong oleh unsur-unsur politik,” menurut laporan itu.
Laporan itu menyatakan keadaan itu antara lain berpunca daripada beberapa kelemahan dalam Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) yang tidak lagi sesuai dengan keadaan semasa kerana memberi kuasa yang luas kepada Menteri meliputi operasi haji, dana dan pelaburan.
Laporan itu menyatakan menteri yang bertanggungjawab terhadap TH ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan didapati kepakaran ketiga-tiga Menteri Hal Ehwal Agama (Mej Jen (B) Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri) yang menyelia TH dalam tempoh siasatan hanya terhad dalam bidang hal ehwal agama.
“Keterbatasan ini menjadikan Menteri Hal Ehwal Agama bergantung sepenuhnya kepada cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh pihak pengurusan dan Lembaga (TH) dalam melaksanakan tanggungjawab dari aspek pengurusan dana dan pelaburan.
“Didapati tiada input tambahan yang lain diperoleh oleh menteri sebelum beliau membuat keputusan mengenai pengurusan dana dan pelaburan. Situasi ini mungkin berbeza jika perkara berkaitan dengan pengurusan dana dan pelaburan TH dipertanggungjawabkan kepada Menteri Kewangan,” menurut laporan itu.
RCI turut mendapati Akta 535 memberi kuasa kepada menteri dalam melantik Pengerusi dan anggota Lembaga, namun tidak menetapkan kriteria khusus bagi pelantikan itu selain mereka mestilah beragama Islam dan warganegara Malaysia.
Sehubungan itu, Suruhanjaya telah menyenaraikan akta-akta berkaitan yang mempunyai kriteria khusus seperti “orang yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman dalam kewangan, perniagaan, ekonomi, perakaunan atau dalam mana-mana disiplin lain yang berkaitan” sebagai panduan.
“Peruntukan yang begitu luas seperti di atas telah memperlihatkan pelantikan seorang Pengerusi TH dan beberapa anggota Lembaga yang dilantik dalam kalangan ahli politik bagi tempoh 2014 hingga 2018,” menurut laporan itu.
Suruhanjaya itu juga berpandangan peruntukan Akta 535 yang memberi kuasa kepada menteri untuk membatalkan pelantikan perkhidmatan mana-mana anggota Lembaga pada bila-bila masa tanpa memberikan sebab tidak lagi sesuai dalam keadaan semasa.
“Menteri telah menggunakan kuasa ini dalam dua situasi iaitu, penamatan perkhidmatan Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff sebagai Ketua Pegawai Eksekutif pada 5 Mei 2021, sebelum tamat tempoh sebenar perkhidmatannya iaitu pada 31 Ogos 2021.
“… dan penamatan perkhidmatan Tan Sri Md Nor Md Yusof sebagai Pengerusi TH pada 15 Okt 2021, sebelum tarikh tamat tempoh kontrak yang baru disambung selama dua tahun mulai 20 Julai 2020,” menurut dokumen itu.
Selain itu, RCI mendapati penglibatan anggota lembaga TH dan pengurusan tertinggi TH dalam anak-anak syarikat menyebabkan mereka kurang memberi fokus kepada tugas hakiki di TH dan menimbulkan konflik kepentingan dalam pengurusan institusi berkenaan dan anak-anak syarikatnya.
Susulan penemuan-penemuan itu, Suruhanjaya mencadangkan pindaan dibuat ke atas Akta 535 bagi menambah baik tadbir urus dan kawal selia TH, selain menyusun semula struktur tadbir urus untuk memberi mandat kepada Menteri Hal Ehwal Agama bagi pengurusan haji, dan Menteri Kewangan bagi pengurusan kewangan, dana dan pelaburan.
RCI dalam pada itu turut mencadangkan Panel Pelaburan, Jawatankuasa Penasihat Syariah dan Jawatankuasa Pengurusan Haji dikanunkan secara khusus dalam Akta 535 bagi memperkukuh tadbir urus TH. -BERNAMA