
KUALA LUMPUR, 29 Julai – Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) mendapati institusi itu sebenarnya mengalami kerugian bersih RM1.4 bilion pada 2017, bukannya mencatat keuntungan RM3.4 bilion seperti dilaporkan, jika Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) dipatuhi sepenuhnya.
- RCI sahkan kedudukan kewangan TH kritikal; semakan PwC menunjukkan defisit aset berbanding liabiliti sejak 2014.
- TH gagal merekod rosot nilai pelaburan dan mengiktiraf dividen belum diterima, menutup kelemahan prestasi kewangan sebenar.
- Pembayaran hibah yang tinggi dan penggunaan kaedah Realisable Asset Value menaikkan nilai aset melebihi angka penyata kewangan beraudit.
- Jabatan Audit Negara keluarkan sijil audit bersih walau terdapat isu material, UJSB ditubuh tetapi obligasi sukuk kini risiko kewangan besar.
Menurut laporan RCI, penemuan itu menunjukkan kedudukan kewangan TH ketika itu berada pada tahap kritikal dan mengesahkan semakan PricewaterhouseCoopers (PwC) mendapati TH mengalami defisit antara aset dan liabiliti sejak 2014.
RCI mendedahkan, TH tidak merekodkan rosot nilai beberapa pelaburan serta mengiktiraf dividen yang belum diterima, menyebabkan prestasi kewangannya kelihatan lebih baik daripada keadaan sebenar.
Suruhanjaya turut mendapati pembayaran hibah yang tinggi antara 2014 hingga 2017 menjadi antara punca utama kemerosotan kewangan TH kerana melebihi kemampuan sebenar institusi itu.
Selain itu, TH didapati menggunakan kaedah Realisable Asset Value (RAV) untuk menentukan kelayakan pembayaran hibah, sekali gus meningkatkan nilai aset berbanding angka dalam penyata kewangan beraudit.
RCI juga menegur Jabatan Audit Negara kerana mengeluarkan Sijil Audit Bersih bagi penyata kewangan TH tahun 2017 walaupun terdapat isu material yang hanya dilaporkan sebagai Emphasis of Matter.
Menurut laporan itu, tanpa Sijil Audit Bersih, TH tidak sepatutnya mengisytiharkan hibah keseluruhan 6.25 peratus membabitkan pembayaran RM2.75 bilion bagi tahun kewangan 2017.
Laporan itu turut menyatakan peluasan peranan TH sebagai “tonggak ekonomi ummah” serta peningkatan kos Bantuan Kewangan Haji (HAFIS) turut memberi tekanan kepada kedudukan kewangan institusi berkenaan.
Bagi memulihkan kewangan TH, kerajaan menubuhkan Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. (UJSB) pada Disember 2018 untuk mengambil alih aset yang kurang berdaya saing.
Bagaimanapun, RCI mengingatkan obligasi sukuk UJSB kini menjadi antara risiko kewangan terbesar kepada TH dan mencadangkan ia distruktur semula bagi mengukuhkan aliran tunai institusi itu.