Terima apa juga keputusan rakyat, yakin politik prestasi mula diterima – DS Aminuddin Harun

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berucap pada Sidang Media Pakatan Harapan (PH) berhubung keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan / Foto BERNAMA

SEREMBAN, 1 Ogos – Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun menerima apa jua keputusan yang dibuat rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini dan menyerahkan sepenuhnya mandat kepada pengundi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mendidik rakyat, terutama anak muda, supaya menilai prestasi dan masa depan, bukan hanya dipengaruhi sentimen perkauman.
  • Melihat perkembangan positif dan tidak menyesal dengan pendekatan yang diambil sepanjang kempen.
  • Mengakui rekod dua penggal mungkin belum cukup meyakinkan pengundi selepas tewas di Linggi.
  • Bersyukur diberi peluang mentadbir lapan tahun sejak 2018 dan berharap menteri besar seterusnya utamakan kebajikan rakyat.

Beliau berkata, pendirian itu dipegang sejak Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan, dengan rakyat diberi ruang menilai sendiri prestasi pentadbiran kerajaan negeri sepanjang lapan tahun lalu.

“Dalam politik, ada kalanya kita menang dan ada kalanya kita kalah. Namun, bagi saya yang lebih penting ialah mendidik masyarakat, khususnya anak muda, supaya menilai prestasi dan masa depan, bukan hanya dipengaruhi sentimen perkauman.

Saya melihat sudah ada perkembangan yang positif dan saya tidak menyesal dengan pendekatan yang diambil,” katanya pada sidang media di Pusat Gerakan Pakatan Harapan di sini, hari ini.

Datuk Seri Aminuddin, yang turut tewas di Linggi, mengakui rekod pentadbirannya selama dua penggal mungkin belum cukup baik untuk meyakinkan rakyat, namun katanya, matlamat utama kempen bukan sekadar meraih kemenangan, sebaliknya mendidik masyarakat agar melihat hala tuju negeri dan negara berdasarkan pencapaian serta dasar yang ditawarkan.

Tambahnya, beliau bersyukur diberi peluang mentadbir Negeri Sembilan selama lapan tahun sejak dilantik sebagai menteri besar pada 2018.

Beliau turut berharap menteri besar seterusnya akan mentadbir Negeri Sembilan dengan baik serta mengutamakan kebajikan rakyat.

Keputusan tidak rasmi menunjukkan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) memperoleh kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri.

Datuk Seri Aminuddin tewas kepada calon BN, Faizal Ramli di Linggi selepas meninggalkan Sikamat, yang diwakilinya selama empat penggal sejak 2008.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.