Sempat mengundi 30 minit sebelum pusat undi ditutup

Bagi pengundi muda, Soh Mei Ling mengundi buat kali pertama dan pengundi terakhir pada PRN N. Sembilan ke-16/Foto RTM Ain

PORT DICKSON, 1 Ogos – Kesibukan bekerja dan kesesakan lalu lintas tidak menghalang pengundi untuk hadir pada saat-saat akhir bagi menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Nur Ain Johari tiba kira-kira 30 minit sebelum pusat pengundian ditutup selepas selesai bekerja, bergegas tunaikan tanggungjawab.
  • Nordiana Abd Aziz bekerja di Bangi terperangkap kesesakan di Lukut namun sampai pada jam 5.30 petang untuk mengundi.
  • Soh Mei Ling pengundi muda mengundi buat kali pertama dan antara individu terakhir meninggalkan pusat pengundian.
  • Pusat pengundian Sekolah Kebangsaan Port Dickson ditutup pada pukul 6 petang, satu daripada enam pusat bagi DUN N.33 Sri Tanjung.

Pengundi, Nur Ain Johari, yang tiba kira-kira 30 minit sebelum pusat pengundian ditutup berkata, beliau bergegas ke pusat mengundi sebaik selesai bekerja.

“Saya amat berbangga hari ini dapat datang mengundi. Baru balik kerja, tergesa-gesa juga, tapi tanggungjawab kan? Datang jugalah. Walaupun sibuk pun kena juga datang,” katanya kepada RTM.

Sementara itu, Nordiana Abd Aziz yang bekerja di Bangi terpaksa berdepan kesesakan lalu lintas ketika dalam perjalanan pulang ke Negeri Sembilan untuk mengundi.

“Saya orang Negeri Sembilan, tapi bekerja di Bangi. Alhamdulillah, walaupun terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di Lukut, saya sampai juga di sini pada jam 5.30 petang,” katanya.

Bagi pengundi muda, Soh Mei Ling, pengalaman mengundi buat kali pertama lebih bermakna apabila beliau menjadi antara individu terakhir keluar dari pusat pengundian.

Pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Port Dickson ditutup secara rasmi pada pukul 6 petang.

Lokasi itu merupakan satu daripada enam pusat mengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.33 Sri Tanjung.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.