
KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Perdana Menteri mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) atas mandat diberikan rakyat Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16.
- Perdana Menteri merakamkan penghargaan kepada pengundi yang menunaikan tanggungjawab dalam proses demokrasi.
- Menghargai kepercayaan rakyat kepada Pakatan Harapan dan kepimpinan Datuk Seri Aminuddin Harun selama lapan tahun.
- Menegaskan legasi PH berupa tadbir urus baik, kestabilan dan pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat.
- Kerajaan persekutuan akan terus memberi dukungan dan kerjasama kepada kerajaan negeri baharu demi kesejahteraan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pengundi yang menunaikan tanggungjawab dalam proses demokrasi itu.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) turut menghargai kepercayaan rakyat Negeri Sembilan kepada PH dan Datuk Seri Aminuddin Harun yang menerajui pentadbiran negeri sebagai Menteri Besar selama lapan tahun.
“Alhamdulillah, sepanjang tempoh tersebut, Pakatan Harapan telah meninggalkan legasi pentadbiran yang cemerlang berteraskan tatakelola baik, kestabilan serta pembangunan yang memanfaatkan rakyat.
“Semoga legasi ini terus diperkukuh demi kemajuan Negeri Sembilan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Tambah beliau, kerajaan persekutuan akan terus memberi dukungan dan kerjasama kepada Kerajaan Negeri Sembilan yang baharu demi kesejahteraan serta kemakmuran negeri dan rakyat keseluruhannya.
Secara tidak rasmi, BN memenangi 18 kerusi DUN manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh tujuh kerusi DUN.
Ini sekali gus memberikan kedua-dua gabungan parti politik yang bekerjasama pada PRN Negeri Sembilan itu, majoriti untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.