Warga emas dipenjara empat bulan, muat naik hantaran jelik

Perbicaraan bagi kedua-dua kes berlangsung di Kompleks Mahkamah Sepang, Selangor/Foto RTM

SEPANG, 22 April – Seorang warga emas dipenjara empat bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah memuat naik hantaran jelik terhadap institusi diraja menerusi Facebook, Ogos lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mat Derus Ali, 64, mengaku bersalah muat naik kandungan menghina melalui akaun "Mat Derus" pada 20 Ogos 2024; dikesan MCMC keesokan harinya.
  • Kesalahan didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998; maksimum denda RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya.
  • Marzuki Ismail, 52, pesara tentera mengaku tidak bersalah; mahkamah benarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin; sebutan 9 Jun.

Tertuduh, Mat Derus Ali, 64, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, beliau memuat naik kandungan menghina melalui akaun “Mat Derus” pada 20 Ogos 2024 sebelum dikesan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) keesokan harinya.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya MCMC Fadhli Ab Wahab memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh, memandangkan kandungan yang dimuat naik bersifat sebagai penghinaan jelas, bukan sekadar pandangan atau wacana sah.

Dalam kes berasingan, seorang pesara tentera mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komen bersifat jelik di akaun media sosial miliknya, Disember tahun lepas.

Marzuki Ismail, 52, didakwa secara sedar membuat dan memulakan hantaran komen yang jelik melampau sifatnya dengan niat menyakiti hati mana-mana orang di Facebook menerusi akaun “Marzuki Ismail”, kira-kira 2.30 petang pada 22 Disember 2025.

Hantaran berkenaan dilihat di Menara MCMC1, Cyberjaya pada 3 pagi, 24 Disember tahun sama.

Pertuduhan juga dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam Nik Zarith Nik Moustpha yang mewakili tertuduh merayu agar tawaran jaminan RM10,000 oleh Fadhli dikurangkan atas alasan fungsi jaminan adalah untuk memastikan kehadiran anak guamnya ke mahkamah dan bukannya bertujuan menghukum atau membebankan.

Nik Zahrin berkata, Fadhli yang merupakan bekas anggota tentera selama 22 tahun kini menyara tiga anak termasuk dua yang masih bersekolah dengan duit pencen RM1,400 sebulan, selain menghidap penyakit diabetes yang memerlukan rawatan berkala di hospital.

Mahkamah membenarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 9 Jun ini.