
KUANTAN, 22 April– Sebuah bot nelayan tempatan Kelas C ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang kerana menangkap ikan kurang daripada 12 batu nautika dari pantai, awal pagi Ahad lalu.
- Bot dikesan mencurigakan dan diperiksa ketika bersauh, menjalankan aktiviti penangkapan kira-kira 6.2 batu nautika tenggara Tanjung Agas.
- Penahanan dibuat kira-kira pukul 1.00 pagi semasa Op Makmur dan Op Tiris dilaksanakan di perairan Pahang.
- Lima kru warga Vietnam termasuk tekong berusia 26 hingga 43 tahun ditahan untuk siasatan.
- Kru disyaki melanggar Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63; bot, kru dan hasil laut diserahkan kepada penyiasat.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Mazlan Mat Rejab dalam satu kenyataan memaklumkan bot itu dikesan dalam keadaan mencurigakan sebelum dihampiri dan diperiksa ketika sedang bersauh serta menjalankan aktiviti penangkapan ikan kira-kira 6.2 batu nautika tenggara Tanjung Agas.
Tambahnya, bot berkenaan ditahan kira-kira pukul 1.00 pagi ketika bot ronda Maritim Malaysia melaksanakan Op Makmur dan Op Tiris di perairan Pahang.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan lima kru warga Vietnam termasuk tekong berusia antara 26 hingga 43 tahun.”
“Kesemua kru disyaki melanggar syarat lesen di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan kurang daripada 12 batu nautika dari pantai,” kata kenyataan itu.
Selain itu, mereka juga disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana memiliki dokumen pengenalan diri yang meragukan.
Beliau berkata, bot bersama tekong, kru serta hasil laut kira-kira 20 kilogram diiring masuk ke Jeti Pernepa Kuantan Slipway sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Pahang untuk tindakan lanjut.
“Tangkapan berulang itu membuktikan masih terdapat pihak yang tidak serik melanggar undang-undang maritim walaupun penguatkuasaan dipertingkatkan,” jelas kenyataan itu.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah maritim atau kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.