Tawar khidmat seks RM200 di kaki lima, 11 wanita warga Afrika ditahan

Antara 11 wanita warga Afrika di tahan sekitar Bukit Bintang pada awal pagi Ahad/Foto JSJ KL


KUALA LUMPUR, 8 Februari
Hanya dengan bayaran sekitar RM200, khidmat seks ditawarkan secara terbuka di kaki lima kawasan tumpuan pelancong Bukit Bintang sebelum pelanggan dibawa ke hotel bajet berhampiran atau ke lokasi pilihan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Polis menyerbu operasi persundalan di kaki lima Bukit Bintang dan menahan 11 wanita warga Afrika.
  • Wanita berusia 20 hingga 30-an berasal dari Ghana, Uganda dan Nigeria ditahan pada sekitar pukul 2 pagi Ahad.
  • Mereka dipercayai menawarkan khidmat seks sekitar RM200 sebelum membawa pelanggan ke hotel bajet atau lokasi lain.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63.

Bagaimanapun polis berjaya menumpaskan kegiatan persundalan membabitkan wanita warga Afrika yang beroperasi secara terbuka di kawasan berkenaan dalam serbuan pagi Ahad.

Dalam operasi kira-kira pukul 2 pagi itu, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, dengan kerjasama Jabatan Imigresen menahan 11 wanita warga Ghana, Uganda dan Nigeria berusia antara 20 hingga 30-an.

“Pemeriksaan mendapati kesemua suspek dipercayai menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggan di kawasan kaki lima sebelum membawa mereka ke hotel bajet berhampiran atau ke lokasi lain yang dipersetujui,” menurut kenyataan itu pada Ahad.

Polis turut merampas sejumlah kondom yang dipercayai digunakan bagi tujuan kegiatan tidak bermoral berkenaan.

Hasil siasatan awal mendapati kesemua wanita terbabit memasuki negara ini menggunakan pas pelancong dan menjalankan aktiviti persundalan sejak kira-kira sebulan lalu tanpa penglibatan mana-mana sindiket.

Kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan  serta Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63.