Empat lelaki ditahan cuba seludup haiwan ternakan

Foto hiasan

IPOH, 8 Februari -Empat lelaki tempatan ditahan kerana disyaki terlibat kegiatan menyeludup haiwan ternakan tanpa permit menerusi Ops Taring Kandang di Jalan Baling-Gerik di Gerik hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rampasan 117 ekor kambing dan 18 ekor lembu dipercayai diseludup melalui jalan tikus sempadan.
  • Nilai rampasan termasuk dua lori dianggarkan RM686,300; haiwan diserahkan kepada JPV Perak.
  • Empat lelaki disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953, kegiatan dijalankan sejak tiga bulan lalu.

Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta SAC Balveer Singh Mahindar Singh berkata, kesemua suspek berusia 23 hingga 35 tahun ditahan dalam kegiatan memindahkan lembu dan kambing tanpa sebarang permit atau dokumen kebenaran bertulis yang sah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

“Pemeriksaan lanjut ke atas dua lori mendapati 117 ekor kambing dan 18 ekor lembu dipercayai diseludup dari negara jiran melalui jalan tikus di sempadan negara,.

“Kesemua rampasan termasuk kedua-dua kenderaan dianggarkan RM686,300,” katanya dalam kenyataan.

Balveer Singh berkata pemandu dan kelindan lori menggunakan modus operandi dengan menutup bahagian belakang lori dengan kain kanvas dan hanya membuka sedikit ruang pada bahagian atas lori untuk pengudaraan bagi haiwan berkenaan.

Beliau berkata suspek dipercayai menjalankan kegiatan itu sejak tiga bulan lepas.

“Kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953 dan haiwan yang dirampas telah diserahkan kepada JPV Perak untuk tindakan lanjut.,” katanya.