Dua mayat reput ditemukan dalam rumah di Setia Alam

FOTO IPD SHAH ALAM

SHAH ALAM, 9 Februari – Penduduk di Jalan Setia Indah, Setia Alam digemparkan dengan penemuan dua mayat seorang lelaki dan wanita di sebuah rumah dua tingkat, pagi semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dua mayat lelaki dan wanita ditemui reput di bilik tingkat bawah sebuah rumah sewa.
  • Pemeriksaan awal polis dan forensik mendapati tiada kecederaan atau unsur jenayah ketara.
  • Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut; mayat dihantar ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat.
  • Siasatan menyeluruh diteruskan; orang ramai diminta hubungi Inspektor Izzman di 013-400 3355 jika ada maklumat.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Ramsay Embol berkata, kedua-dua mangsa masing-masing berusia 36 dan 39 tahun, ditemukan dalam keadaan reput di sebuah bilik tingkat bawah rumah berkenaan.

Laporan diterima hasil makluman ahli keluarga mangsa wanita yang menemukan kedua-dua mayat di rumah sewa milik adiknya.

“Siasatan awal polis bersama pasukan Forensik IPK Selangor mendapati rumah dalam keadaan teratur, tiada kenderaan, pintu besi hadapan tidak berkunci, dan tiada unsur jenayah dikenal pasti.

“Pemeriksaan turut mengesahkan tiada kecederaan pada tubuh kedua-dua mangsa.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). Mayat dihantar ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat.

“Siasatan secara menyeluruh akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dan jika ada terdapat unsur jenayah,” katanya menerusi kenyataan.

Siasatan diambil alih oleh Ketua Polis Balai Seksyen 6, Shah Alam.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Inspektor Izzman Mohd Idrus di talian 013-400 3355.