Seludup beras sekali sehari seorang lelaki dicekup

Seorang lelaki berusia 45 tahun ditahan bersama 700kg beras pelbagai jenama

TANAH MERAH, 29 Jun – Sebanyak 700 kilogram beras pelbagai jenis yang dipercayai diseludup masuk dari Thailand dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara dalam serbuan di Kampung Bechah Laut, di sini, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Seorang lelaki berusia 45 tahun ditahan selepas dikejar anggota PGA di Kampung Bechah Laut.
  • Pemandu memecut ketika terserempak anggota, berhenti di bahu jalan dan cuba melarikan diri sebelum berjaya diberkas.
  • Suspek mengaku membawa masuk beras melalui Pengkalan Haram Pisang ke Paloh Rawa, Machang untuk dipasarkan.
  • Sebuah kereta dirampas, nilai rampasan dianggarkan RM17,800, kes dirujuk kepada Kawal Selia Padi dan Beras Negara Kelantan.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata, dalam serbuan kira-kira 11.30 malam itu, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 45 tahun.

“Pemandu berkenaan bertindak memecut sebaik menyedari kehadiran anggota PGA sebelum dikejar hingga ke Kampung Bechah Laut.

“Pemandu kemudian memberhentikan kenderaannya di bahu jalan dan cuba melarikan diri, namun berjaya diberkas selepas dikejar anggota bertugas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, suspek mengaku beras itu dibawa masuk melalui Pengkalan Haram Pisang di Kampung Lalang Pepuyu untuk dipasarkan di Paloh Rawa, Machang.

“Suspek juga mengaku menjalankan kegiatan itu sekali sehari bagi seorang individu warga Thailand yang dikenali sebagai ‘Shida’,” katanya.

Ahmad Radzi berkata, turut dirampas sebuah kereta yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan, menjadikan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM17,800.

Kes dirujuk kepada Kawal Selia Padi dan Beras Negara Kelantan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras Negara 1994.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.