
PADANG BESAR, 29 Jun- Polis Perlis menumpaskan lapan kes penyeludupan migran di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) dengan penahanan 11 tekong serta 33 pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi tempoh Mei hingga Jun tahun ini.
- Operasi pembanterasan jenayah rentas sempadan dijalankan secara berterusan di kawasan Padang Besar.
- Pada Mei direkodkan lima kes; tujuh tekong ditahan bersama 21 PATI dari Myanmar, Indonesia dan Bangladesh.
- Pada Jun direkodkan tiga kes; empat tekong ditahan bersama 12 PATI termasuk warga China dan Myanmar.
- Suspek penyeludupan sering berkait aktiviti dadah dan memiliki senjata api; polis merampas dua pistol serta akan mempergiat penguatkuasaan.
Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata kejayaan itu hasil operasi pembanterasan jenayah rentas sempadan yang dijalankan secara berterusan khususnya di kawasan Padang Besar.
Menurut beliau, lima kes direkodkan pada Mei membabitkan penahanan tujuh tekong terdiri daripada enam lelaki tempatan dan seorang warga Thailand bersama 21 PATI warga Myanmar, Indonesia dan Bangladesh.
Manakala pada Jun, sebanyak tiga kes direkodkan membabitkan penahanan empat tekong warga tempatan bersama 12 PATI terdiri daripada empat warga China dan lapan warga Myanmar.
“Kebanyakan suspek atau ‘transporter’ yang kita tangkap di bawah ATIPSOM ini berkait rapat dengan aktiviti penyeludupan dadah dan kebanyakannya memiliki senjata api,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, polis turut merampas dua pucuk pistol dalam dua kes jenayah berasingan masing-masing di Felda Rimba Mas pada 25 Mei lalu dan Kampung Kubang Tiga, Chuping pada 15 Jun.
Beliau berkata polis akan terus mempergiatkan tindakan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyeludupan migran serta jenayah rentas sempadan di negeri itu.