
KUALA TERENGGANU, 29 Jun – Seramai 253 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dadah dalam Operasi Tapis Khas (OTK) yang dilaksanakan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Terengganu bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
- 29 ditahan pengedar, 72 memiliki dadah, 146 positif ujian air kencing, 6 ditahan kerana waran tangkap.
- Rampasan dadah dan bahan di bawah Akta Racun dianggarkan bernilai RM18,044.60.
- Seramai 33 penagih diserahkan kepada AADK untuk rawatan dan pemulihan; projek rintis penyerahan kes ke AADK di Besut bermula 1 Julai.
Operasi yang dijalankan di seluruh Terengganu itu berlangsung selama tiga hari, bermula 26 hingga 28 Jun lalu.
Ketua Polis Terengganu, Deputi Komisioner (DCP) Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata daripada keseluruhan tangkapan, 248 adalah lelaki manakala lima lagi wanita.
Tambah beliau, daripada jumlah itu, 29 suspek ditahan kerana mengedar dadah, 72 lagi memiliki dadah, 146 positif dadah menerusi ujian saringan air kencing, manakala enam lagi suspek ditahan kerana mempunyai waran tangkap.
“Dalam operasi itu, pelbagai jenis dadah serta bahan di bawah Akta Racun dirampas dianggarkan bernilai RM18,044.60.
“Seramai 33 individu yang dikenal pasti sebagai penagih telah diserahkan kepada AADK bagi tujuan rawatan dan pemulihan,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Mohd Khairi mendedahkan, berdasarkan kumpulan umur, mereka yang berusia berusia 41 hingga 50 tahun merekodkan tangkapan tertinggi iaitu seramai 72 orang.
Diikuti suspek berusia 35 hingga 40 tahun (45 orang), 51 hingga 72 tahun (44 orang), 30 hingga 34 tahun (35 orang), 25 hingga 29 tahun (32 orang) dan 19 hingga 24 tahun (25 orang).
Beliau berkata, operasi itu turut menjadi persediaan pelaksanaan projek rintis penyerahan kes tangkapan JSJN kepada AADK di Besut bermula 1 Julai ini.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti pengedaran, pemilikan atau melindungi kegiatan dadah kerana ia merupakan kesalahan serius di sisi undang-undang,” katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan dadah supaya menyalurkannya menerusi Hotline JSJN di talian 012-208 7222 atau Hotline JSJN Terengganu di talian 011-6735 1234.