
LAHAD DATU, 29 Jun- Kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang maut dipercayai diserang buaya di Sungai Tagupi Darat, di sini, hari ini dikenal pasti sebagai bukan warganegara.
- Mangsa ditemukan oleh keluarga dan orang awam kira-kira 300 meter dari lokasi dilaporkan hilang.
- Ditemukan sebelum ketibaan pasukan BBP Lahad Datu yang digerakkan selepas panggilan kecemasan pada 12.06 tengah hari.
- Pemeriksaan awal mendapati kecederaan pada kaki kiri dan pinggang belakang serta disahkan meninggal dunia di lokasi oleh polis.
- Mayat diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut; operasi bersama PDRM ditamatkan pada 4.26 petang selepas tiada bahaya.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan mangsa, Mohd Nazri Ahidin, ditemukan oleh keluarga dan orang awam dalam keadaan tidak bernyawa kira-kira 300 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.
“Mohd Nazri Ahidin, bukan warganegara, dilaporkan hilang ketika berada di kawasan sungai kira-kira pukul 11.00 pagi,” menurut kenyataan.
Menurut PGO JBPM Sabah, mangsa ditemukan sebelum ketibaan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu yang digerakkan susulan panggilan kecemasan pada 12.06 tengah hari.
“Pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kaki kiri dan pinggang belakang serta disahkan meninggal dunia di lokasi oleh polis.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan.
Operasi yang turut dibantu PDRM ditamatkan pada pukul 4.26 petang selepas bomba memastikan tiada lagi sebarang bahaya di lokasi kejadian.