
CYBERJAYA, 29 Jun – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyita 6,916 unit kelengkapan komunikasi tidak diperakui bernilai kira-kira RM2.06 juta menerusi Op V380 pada 24 Jun lalu.
- Operasi menyasarkan sebuah syarikat yang dipercayai menjual dan memiliki kelengkapan komunikasi tidak mematuhi piawaian teknikal.
- Antara barangan disita termasuk kamera CCTV tanpa wayar, komputer, pencetak, telefon bimbit dan penghala WiFi untuk siasatan.
- Operasi dijalankan hasil risikan bersama SIRIM QAS International dan melibatkan 44 pegawai di gudang Klang serta premis Johor Bahru.
- Kes disiasat mengikut Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000; denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun.
MCMC dalam kenyataan memaklumkan, operasi itu menyasarkan sebuah syarikat yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penjualan serta pemilikan kelengkapan komunikasi yang tidak mematuhi piawaian teknikal ditetapkan.
Antara barangan yang disita termasuk kamera litar tertutup (CCTV) tanpa wayar, komputer, mesin pencetak, telefon bimbit dan penghala WiFi bagi membantu siasatan.
Menurut MCMC, operasi berkenaan dijalankan hasil risikan bersama SIRIM QAS International Sdn. Bhd. dan melibatkan 44 pegawai di dua lokasi serentak iaitu sebuah gudang di Klang serta premis pejabat dan studio siaran langsung di Johor Bahru.
Siasatan awal mendapati kelengkapan berkenaan dipercayai ditawarkan untuk jualan menerusi platform e-dagang termasuk TikTok Shop dan Shopee.
Seramai lapan individu termasuk pengurus syarikat, pembantu gudang serta hos siaran langsung turut dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang memperuntukkan denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
MCMC berkata tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkat bagi memastikan semua kelengkapan komunikasi yang dipasarkan mematuhi piawaian teknikal dan peraturan ditetapkan.