
SHAH ALAM, 18 Mei – Polis menahan suspek yang dipercayai terlibat dalam kes mengurung dan meliwat seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Bukit Kemuning, Seksyen 32 di sini, minggu lepas
- Suspek baru dibebaskan dari penjara pada April 2025 dan kini bekerja sebagai pemungut hutang.
- Mangsa dipercayai diperdaya dengan tawaran pakej internet telefon bimbit supaya membantu mengangkat barang dalam rumah suspek.
- Suspek mempunyai rekod kesalahan termasuk kes merogol, merompak dan mengurung seorang wanita, sabitan pada 2008.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata lelaki berusia lingkungan 40an itu ditahan di sebuah bilik sewa sekitar Kuala Lumpur pada 16 Mei lepas.
“Suspek yang dibebaskan dari penjara pada April 2025, kini bekerja sebagai pemungut hutang.
“Kita percaya bilik diduduki itu mungkin baru disewa setelah berpindah dari Shah Alam…itu kita akan tentukan nanti,” katanya pada Sidang Media Kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen Selangor di sini hari ini.
Datuk Shazeli berkata hasil saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah dan lelaki terbabit kini direman sehingga esok bagi membantu siasatan.
Sebelum ini, media melaporkan seorang remaja lelaki mendakwa dikurung, didera termasuk dipercayai diliwat lelaki tidak dikenali di sebuah pangsapuri di Bukit Kemuning, 12 Mei lepas.
Siasatan awal polis mendapati suspek memperdaya mangsa dengan mengajak remaja itu berbual dengan menawarkan satu pakej internet telefon bimbit, dengan syarat mangsa membantu mengangkat barang dalam rumah suspek.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Ramsay Embol turut dilaporkan berkata suspek juga mempunyai rekod merogol, merompak dan mengurung seorang wanita dan disabitkan kesalahan pada 2008./BERNAMA