
GURUN, 30 Jun – Polis telah melengkapkan siasatan berhubung kes letupan bom tangan yang mengorbankan dua anggota tentera di Lapang Sasar Kem Hobart, Gurun pada 16 Jun lalu sebelum menyerahkan kes itu kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk siasatan lanjut.
- Siasatan polis diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut, manakala ATM masih menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar.
- Siasatan awal mendapati semua SOP latihan dipatuhi; setiap pelatih diiringi jurulatih semasa latihan.
- Kejadian dipercayai berpunca daripada masalah teknikal pada senjata menyebabkan serpihan melenting dan mencederakan anggota.
- Dua anggota cedera pada kaki; doktor mengesahkan kecederaan bukan disebabkan tembakan peluru.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, siasatan polis diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR), manakala siasatan terperinci kini diteruskan oleh ATM bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Menurut beliau, berdasarkan siasatan awal, semua prosedur operasi standard (SOP) latihan dipatuhi termasuk setiap pelatih diwajibkan diiringi jurulatih sepanjang latihan dijalankan.
“Kes itu telah diserahkan kepada pihak tentera untuk siasatan lanjut. Berdasarkan maklumat yang kita peroleh setakat ini, ia lebih menjurus kepada faktor teknikal dan bukannya kecuaian.
“ATM juga masih menjalankan siasatan secara terperinci. Setiap pelatih sememangnya diiringi jurulatih ketika latihan kerana ia membabitkan aspek keselamatan dan nyawa. Namun, kemalangan masih boleh berlaku disebabkan faktor teknikal,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media ketika melawat Pondok Polis Jeniang yang akan beroperasi sebagai balai polis sementara mulai 2 Julai hingga 20 Ogos depan berikutan kerja pengubahsuaian Balai Polis Jeniang.
Terdahulu, beliau mengulas insiden terbaharu semalam yang menyaksikan dua anggota tentera cedera ketika latihan tembakan di kem sama.
Datuk Adzli berkata, siasatan awal turut mendapati kejadian itu dipercayai berpunca daripada masalah teknikal pada senjata sehingga menyebabkan serpihan objek melenting dan mencederakan mangsa.
Dalam kejadian itu, seorang anggota berpangkat sarjan dan seorang koperal cedera pada bahagian kaki akibat terkena serpihan, namun doktor mengesahkan kecederaan mereka bukan berpunca daripada tembakan peluru.
Pada 16 Jun lalu, dua anggota tentera maut selepas bom tangan meletup ketika latihan di Lapang Sasar Kem Hobart dan kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.