Lagi kes maut dibaham buaya di Lahad Datu

Mangsa, 20, dibaham buaya di perairan Kampung Mundas, Tungku, Lahad Datu hari ini

LAHAD DATU, 30 Jun- Seorang lelaki berusia 20 tahun maut dipercayai dibaham buaya ketika mengambil hasil laut daripada pukat di perairan Kampung Mundas, Tungku, dekat sini, pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa diserang buaya secara tiba-tiba semasa mengambil hasil laut; dibaham pada bahagian perut dan dada kiri sebelum tenggelam.
  • Ahli keluarga dan penduduk mencari lalu menemui mayat terapung di pantai kira-kira pukul 10.00 pagi.
  • Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut SDR; orang ramai dinasihatkan berwaspada selepas tragedi serangan buaya hari sebelumnya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintenden Jimmy Panyau berkata mangsa ditemukan oleh ahli keluarga dan penduduk kampung dalam keadaan tidak bernyawa kira-kira pukul 10.00 pagi di pantai Kampung Mundas.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa keluar ke laut sekitar pukul 7.00 pagi bagi mengambil hasil laut daripada pukat yang dipasang sehari sebelum kejadian.

“Ketika mangsa sedang mengambil hasil laut daripada pukat berkenaan, seekor buaya dipercayai muncul secara tiba-tiba lalu membaham mangsa pada bahagian perut dan dada sebelah kiri sebelum mangsa tenggelam ke dalam air.

“Ahli keluarga bersama penduduk kampung kemudian menjalankan usaha mencari mangsa sehingga mayatnya ditemukan terapung di pantai Kampung Mundas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada ketika melakukan sebarang aktiviti di kawasan sungai atau laut, khususnya di lokasi berisiko, bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Semalam, seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun maut selepas diserang buaya di Kampung Tagupi, di sini, kira-kira pukul 2.00 petang.

Dalam kejadian itu, jiran mangsa dilaporkan melihat mangsa ditarik seekor buaya ke dasar sungai.

Pemeriksaan ke atas tubuh badan mangsa mendapati terdapat kesan kecederaan akibat gigitan buaya di bahagian belakang badan dan kaki mangsa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.