PGA tahan lelaki bawa 24,000 benih sawit untuk diseludup ke Thailand

Sebahagian daripada 24,000 biji benih kelapa sawit bernilai RM96,000 yang dirampas PGA sebelum dipercayai diseludup ke Thailand/Foto PGA Briged Tenggara

RANTAU PANJANG, 1 Ogos – Seorang lelaki hanya menerima upah RM150 untuk membawa 24,000 biji benih kelapa sawit yang dipercayai cuba diseludup ke Thailand melalui pangkalan haram di Lubok Gong di sini pada Sabtu.

RINGKASAN BERITA AI
  • PGA menahan seorang lelaki semasa rondaan Op Taring Wawasan; pemeriksaan menemui kotak mengandungi benih kelapa sawit tanpa dokumen.
  • Barangan disyaki diseludup ke Thailand melalui Pangkalan Haram Tebu, Lubok Gong; suspek dipercayai pengantar menerima arahan daripada individu di Thailand.
  • Nilai benih dianggarkan RM96,000; keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan RM100,000; kes disiasat mengikut Akta MPOB.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata, lelaki tempatan berusia 41 tahun itu ditahan anggota PGA ketika melakukan rondaan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan kira-kira pukul 8.30 pagi.

Menurutnya, anggota mengesan sebuah kereta dipandu lelaki berkenaan dalam keadaan mencurigakan di sekitar Pangkalan Haram Tebu, Kampung Lubok Gong sebelum menahannya untuk pemeriksaan.

“Pemeriksaan ke atas kenderaan menemukan beberapa kotak putih mengandungi keseluruhan 24,000 biji benih kelapa sawit yang disyaki cuba diseludup ke Thailand.

“Suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan barangan berkenaan ketika diminta anggota bertugas,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Ahmad Radzi berkata, suspek dipercayai berurusan dengan seorang individu di Thailand sebelum diarahkan mengambil barangan berkenaan daripada seorang individu lain di Stesen Bas Rantau Panjang.

Lelaki tempatan dipercayai membawa 24,000 biji benih kelapa sawit melalui pangkalan haram di Rantau Panjang/Foto PGA Briged Tenggara

Katanya, kesemua benih kelapa sawit itu dipercayai akan dibawa ke Thailand melalui Pangkalan Haram Tebu, Lubok Gong.

“Suspek dipercayai bertindak sebagai penghantar dan menerima upah RM150 untuk membawa barangan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, nilai benih kelapa sawit yang dirampas dianggarkan RM96,000, manakala keseluruhan rampasan termasuk kenderaan bernilai RM100,000.

Suspek dan barang kes dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang sebelum rampasan diserahkan kepada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Kelantan untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 dan Peraturan 5(1)(b), Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Pelesenan) 2005.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.