
PASIR PUTEH, 1 Ogos – Lapan warga Indonesia dipercayai membayar RM4,000 seorang kepada ejen untuk memasuki Malaysia secara haram sebelum ditemukan bersembunyi di sebuah rumah dan stor di Kampung Gong Serapat, di sini, malam tadi.
- Tiada dokumen pengenalan diri sah ditemui bagi warga asing terbabit.
- Seorang lelaki dan seorang wanita tempatan ditahan untuk membantu siasatan.
- Mereka dipercayai memasuki negara melalui pangkalan haram sekitar Sungai Kelantan pada 30 Julai.
- Semua tangkapan dan barang rampasan diserahkan kepada BSJD IPD Pasir Puteh untuk siasatan lanjut.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain, berkata tiga wanita dan lima lelaki berusia antara 20 hingga 56 tahun itu ditemukan dalam serbuan Op Taring Wawasan Kelantan kira-kira pukul 7.20 malam.
Beliau berkata, pemeriksaan menemukan tiga wanita bersembunyi di ruang tamu rumah berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut di kawasan luar rumah menemukan lima lelaki berada di dalam sebuah stor di belakang rumah.
“Kesemua lapan warga Indonesia itu gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Radzi berkata, seorang lelaki dan seorang wanita tempatan yang berada di rumah berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kesemua warga asing terbabit dipercayai memasuki Malaysia dari Thailand melalui pangkalan haram di sekitar Sungai Kelantan pada 30 Julai lalu sebelum dihantar ke rumah berkenaan.
“Mereka mendakwa urusan kemasukan ke Malaysia diatur seorang ejen warga Indonesia yang berada di negara itu dengan bayaran RM4,000 bagi setiap individu.
“Mereka dipercayai merancang ke Kuala Lumpur untuk bekerja sebagai buruh binaan dan pekerja pembersihan, dengan urusan pekerjaan dikendalikan seorang lelaki tempatan,” katanya.

Beliau berkata, PGA turut merampas 10 telefon bimbit bernilai RM22,000, selain seutas rantai, sebuah mangga dan anak kunci.
Ujian saringan awal air kencing terhadap kesemua individu yang ditahan didapati negatif dadah.
Kesemua tangkapan dan barang rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.