PGA Briged Tenggara rampas lebih 1.1 tan beras seludup

Pelbagai jenis beras dari Thailand seberat 800 kilogram bernilai RM3,800 yang dirampas PGA di Kampung Teluk Jering, Tumpat/Foto PGA Briged Tenggara

KOTA BHARU, 1 Ogos – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara merampas lebih 1.1 tan beras bernilai RM5,040 dalam dua kes penyeludupan berasingan menerusi di sekitar Tumpat sejak semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • PGA mengesan penyeludupan di Pangkalan Haram Pohon Tar; kumpulan melarikan diri ke Thailand; 322 kg beras ditemui dan diserahkan kepada JKDM.
  • Seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun ditahan di Kampung Teluk Jering; PGA menemui 800 kg beras dari Thailand.
  • Rampasan diserahkan kepada JKDM mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967; kes kedua disiasat di bawah Seksyen 20 Akta Kawalan Padi dan Beras.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain, berkata operasi itu turut membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan, manakala satu kumpulan penyeludup berjaya melarikan diri ke Thailand.

Menurutnya, dalam kes pertama kira-kira pukul 6.50 pagi semalam, anggota PGA mengesan aktiviti penyeludupan di Pangkalan Haram Pohon Tar, Pengkalan Kubor.

“Ketika anggota menghampiri lokasi, kumpulan terbabit bertindak melarikan diri ke Thailand menggunakan bot.

“Pemeriksaan di sekitar tebing sungai kemudian menemukan 322 kg beras bernilai RM1,240 yang dipercayai ditinggalkan kumpulan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tiada tangkapan dibuat dan rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Pelbagai jenis beras seberat 322 kilogram bernilai RM1,240 yang dirampas PGA di Pangkalan Haram Pohon Tar, Pengkalan Kubor/Foto PGA Briged Tenggara

Manakala, dalam kes kedua kira-kira pukul 10.30 pagi Sabtu, seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun ditahan di Kampung Teluk Jering.

PGA turut menemukan 800 kg beras dari Thailand bernilai RM3,800.

Ahmad Radzi berkata, rampasan itu terdiri daripada 600 kg pelbagai jenis beras bernilai RM2,400 dan 200 kg beras pulut bernilai RM1,400.

“Siasatan awal mendapati suspek mengaku mengambil beras berkenaan dari Thailand melalui Pangkalan Haram Poksu Rani untuk dijual di sekitar Tumpat,” katanya.

Suspek dan beras rampasan diserahkan kepada Kawal Selia Padi dan Beras (KPB) Kelantan untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawalan Padi dan Beras 1994.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.