Pelajar universiti swasta maut motosikal terbabas pulang dari RXZ Members 8.0

Foto PDRM

DUNGUN, 1 Ogos – Seorang pelajar sebuah universiti swasta maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas di Kilometer 354 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), berhampiran susur masuk Plaza Tol Kuala Dungun, petang tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa: Muhammad Bakhtiar Mazlan, 22, berasal dari Parit Raja, Batu Pahat, Johor.
  • Pelajar jurusan Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Kuala Lumpur (UniKL).
  • Dalam perjalanan pulang dari Program RXZ Members 8.0, motosikal dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke bahu kiri.
  • Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun; kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Nik Ab Halim Nik Mat berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, mangsa, Muhammad Bakhtiar Mazlan, 22, dari Parit Raja, Batu Pahat, Johor, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

“Siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari Gong Badak, Kuala Nerus menuju ke Kuala Lumpur selepas menghadiri Program RXZ Members 8.0.

“Setibanya di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Difahamkan, mangsa merupakan pelajar jurusan Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Nik Ab Halim berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Perubatan Forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.