
KUALA LUMPUR, 23 Jun – Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan dua lelaki serta merampas 105 liter air ketum bernilai RM14,300 dalam Op Taring Wawasan di kawasan Pelabuhan Perikanan Tok Bali di Pasir Puteh, Kelantan.
- 70 bungkusan air ketum ditemui dalam kenderaan yang diubah suai semasa pemeriksaan.
- Wang tunai RM800 ditemui, dipercayai hasil penjualan air ketum.
- Seorang mengaku jual lebih setahun; seorang lagi positif dadah dan bantu penghantaran; kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussin berkata, kedua-dua suspek berusia 23 dan 45 tahun itu ditahan berada dalam kenderaan dan mencurigakan di kawasan pelabuhan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan yang telah diubah suai itu menemukan 70 bungkusan air ketum dengan anggaran isipadu keseluruhan 105 liter.
“Pemeriksaan lanjut turut menemukan wang tunai RM800 yang dipercayai hasil kegiatan penjualan air ketum,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia 23 tahun mengaku terlibat dalam aktiviti penjualan air ketum sejak lebih setahun lalu.
Menurutnya, bekalan air ketum itu diperoleh daripada seorang lelaki tempatan sebelum dijual kepada nelayan dan awak-awak kapal yang berlabuh di Pelabuhan Perikanan LKIM Tok Bali.
Katanya, suspek berusia 45 tahun pula dipercayai berperanan menemani dan membantu penghantaran bekalan air ketum ke lokasi berkenaan.
Seorang daripada suspek turut didapati positif dadah hasil ujian saringan air kencing.
“Kedua-dua suspek bersama rampasan telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh untuk tindakan lanjut,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.