PGA rampas 80 liter petrol cuba diseludup ke negara jiran

Tong jerikin berisi kira-kira 80 liter petrol ditemukan dalam semak/Foto PGA Briged Tenggara

PASIR MAS, 26 Julai – Sebanyak 10 tong jerikin berisi kira-kira 80 liter minyak petrol dipercayai cuba diseludup ke Thailand dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara di kawasan Pengkalan Haram Miji, di sini semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suspek melarikan diri, terjun ke perahu dan memecut ke arah sempadan selepas menyedari kehadiran anggota PGA.
  • Anggota menemui beberapa tong jerikin berisi petrol anggaran lapan liter setiap satu ditinggalkan di lokasi; tiada individu menuntut.
  • Kes dirujuk kepada KPDN Cawangan Pasir Mas untuk tindakan lanjut dan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata, rampasan bernilai RM289.60 itu dilakukan kira-kira pukul 3.45 petang selepas anggota yang menjalankan rondaan mengesan seorang lelaki sedang memunggah tong jerikin ke tebing sungai.

Beliau berkata, suspek bagaimanapun bertindak melarikan diri dengan terjun ke dalam sebuah perahu sebelum memecut ke arah Thailand sebaik menyedari kehadiran anggota PGA.

“Hasil pemeriksaan menemukan 10 tong jerikin mengandungi minyak petrol dengan anggaran lapan liter bagi setiap tong yang ditinggalkan di lokasi.

“Anggota kemudian menunggu selama kira-kira 20 minit, namun tiada individu tampil menuntut barangan berkenaan sebelum ia dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Ahmad Radzi berkata, kes berkenaan telah dirujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Pasir Mas untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.