
RANTAU PANJANG, 8 Jun – Cubaan menyeludup rokok elektronik atau vape ke negara jiran gagal apabila beberapa suspek melarikan diri sebaik menyedari kehadiran Pasukan Gerakan Am (PGA) petang semalam.
- 20 kotak vape pelbagai perisa ditemui ditinggalkan di tebing Sungai Golok.
- Nilai anggaran rampasan kira-kira RM20,000.
- Lokasi pengkalan haram itu dikenal pasti sebagai kawasan aktif penyeludupan di Rantau Panjang.
- Semua barang diserahkan kepada JKDM Rantau Panjang, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Suspek meninggalkan 20 kotak vape bernilai RM20,000 di tebing Sungai Golok ketika anggota menjalankan rondaan di Pengkalan Haram Sharifah.
Komander Briged Tenggara PGA Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata beberapa lelaki sedang bergegas memindahkan kotak-kotak dari tebing Sungai Golok ke dalam sebuah perahu.
“Bagaimanapun, sebaik menyedari kehadiran anggota PGA, semua suspek bertindak melarikan diri dengan menaiki perahu ke arah Thailand.
“Pemeriksaan di lokasi menemui sebuah kotak berwarna coklat yang ditinggalkan di tepi sungai sebelum pemeriksaan dilakukan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Ahmad Radzi berkata, pemeriksaan ke atas kotak berkenaan menemukan 20 kotak vape pelbagai perisa yang dianggarkan bernilai RM20,000.
Tambah beliau, kawasan pengkalan haram itu dikenal pasti sebagai antara lokasi aktif aktiviti penyeludupan rentas sempadan di sektor Rantau Panjang.
“Peranti vape dipercayai cuba diseludup ke Thailand berikutan permintaan tinggi terhadap produk itu di negara berkenaan yang masih mengharamkan pemilikan, penggunaan, import, eksport dan penjualan rokok elektronik,” katanya.
Semua barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Rantau Panjang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.