PDRM terus pantau dan siasat kes libatkan Jho Low – KPN

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Penutupan PDRM Special Dialogue V 2026 di KLGCC Convention Centre/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 Mei Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan siasatan terhadap ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low masih diteruskan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketua Polis Negara anggap isu ini sensitif dan sesuai dibincangkan dengan berhati hati.
  • Situasi semasa terkawal dan tidak menjejaskan pelaksanaan tugas pihak berkuasa.
  • Media antarabangsa laporkan permohonan pengampunan Jho Low, yang boleh menggugurkan pertuduhan jenayah AS jika diluluskan.

Menurut Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, kes berkenaan kekal dalam perhatian pihak polis walaupun timbul laporan media antarabangsa yang mendakwa Jho Low sedang memohon pengampunan daripada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

“Saya melihat perkara-perkara begini begitu sensitif untuk kita bincangkan. Isu ini masih lagi dalam peringkat siasatan yang berterusan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Penutupan PDRM Special Dialogue V 2026 di sini, hari ini.

Menurut Datuk Seri Mohd Khalid, situasi semasa masih terkawal dan tidak menjejaskan pelaksanaan tugas pihak berkuasa dalam mengendalikan kes berkenaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata PDRM turut mengekalkan hubungan baik dengan negara-negara berkaitan bagi memastikan siasatan dapat diteruskan dengan lancar.

Terdahulu, Media antarabangsa melaporkan Jho Low yang dituduh oleh AS sebagai dalang antara penipuan kewangan terbesar dalam sejarah didakwa memfailkan permohonan pengampunan daripada Trump beberapa minggu lepas.

Menurut laporan itu, sekiranya permohonan tersebut diluluskan, ia akan menggugurkan pertuduhan jenayah AS terhadap Jho Low.